Rumah BAHARU kami

BERPULUH-PULUH tahun lalu, lebih tepat pada 1986, aku diberi pelan penempatan baharu keluarga kami di Jalan Semariang.

Ketika itu aku bersama-sama keluarga tinggal di kawasan setinggan, tidak jauh dari Jambatan Gantung Satok.

Gembiranya aku melihat pelan perumahan yang tersusun rapi.

Lot rumah teratur dengan jalan utama dan banyak lorong kecil.

Di fikiran, aku cuma memikirkan penempatan projek perumahan seperti perumahan yang aku lihat sepanjang perjalanan pergi dan balik dari sekolah.

Bapaku tidak juga menerangkan penempatan baharu kami setelah hampir lapan tahun tinggal di kawasan setinggan.

Lot rumah setinggan dibeli dengan harga RM50 daripada salah seorang penduduk kampung.

Suatu hari, bapaku mengajak aku ke kawasan penempatan baharu.

Seawal 6 pagi aku sudah dibangunkan. Aku membuat persiapan sendiri dengan membawa bekal yang sediakan oleh ibu.

Peliknya, bapa turut membawa parang panjang yang sering digunakan untuk menebas dan memotong pokok.

Pakaian bapa juga biasa-biasa sahaja, seolah-olah hendak ke kebun datuk di Kampung Pendam Ulu (kini Sadong Jaya Ulu).

Aku endahkan sahaja sebab hati tengah gembira untuk melihat rumah baharu.

Setelah semua siap, aku dan bapaku berjalan kaki menuju ke perhentian bas di seberang jalan (berdekatan Jambatan Tun Abdul Rahman Yaakub).

Ketika itu tidak sukar menyeberang jalan kerana tidak banyak lagi kenderaan, tidak seperti hari ini.

Aku tidak ingat berapa lama duduk di tepi jalan menunggu bas.

Akhirnya bas berwarna kuning tertulis nombor 2 sampai.

Aku masih ingat memilih tempat duduk tidak jauh dari kerusi pemandu.

Selain dapat melihat kehebatan pemandu bas itu memandu, kerusi itu tidak jauh dari pintu bas.

Selain mudah keluar dari bas, dapat merasai angin dari luar mengusap-ngusap wajah. Perjalanan kami lancar.

Tidak lama selepas itu, bas berhenti di simpang antara Kampung Semariang Baru, jalan ke Kampung Semariang Batu dan jalan ke Santubong dan Buntal.

Aku segera turun dari bas memikirkan sudah sampai ke destinasi.

Sangkaan aku meleset apabila diberitahu oleh bapa yang kami perlu berjalan lagi. “Lom sampe gik Har… jauh gik kita jalan kaki,” terang bapaku.

Aku cuma mengangguk kepala.

Sepanjang perjalanan, hanya jalan berbatu dilalui.

Belum lagi ditar. Aku melihat ke kiri dan kanan, banyak rumah baharu dibina.

Ada yang sudah siap, dan yang baharu mendirikan tiang, tetapi tiada perumahan. Dalam perjalanan, ketika aku masih memikirkan tentang perumahan, aku masih ingat ditegur oleh budak lelaki yang mandi di tepi parit.

“Sine rumah kitak?” tanyanya. Aku hanya menjawab, “Sik tauk gik.”

Perjalanan Terasa Jauh

Perbualan pertama itu akhirnya menjadikan kami kawan di kampung dan di sekolah.

Kali terakhir aku menemui Masri di Kuala Lumpur, itu pun setelah belasan tahun tidak berjumpa.

Aku meneruskan perjalanan. Terasa jauh sebab perlu menjawab pertanyaan penduduk kampung yang sudah mendiami Kampung Semariang Baru.

Sampai di satu selekoh, akhirnya bapa membawa aku memasuki ke kawasan menggunakan batang pokok besar yang tumbang. Rupa-rupanya di situ lot tanah kami.

Masih terdapat banyak lagi pokok di sekeliling.Bapaku menerangkan tentang keluasan tanah dengan menunjukkan kayu belian yang empat penjuru – sempadan tanah dengan orang lain.

Kami kemudian berehat sebentar di pondok kecil yang dibina oleh bapaku. Rupa-rupanya setiap hujung minggu, bapaku akan ke sini untuk menebang pokok dan membersihkan kawasan lot untuk dibina rumah suatu hari kelak. Aku memerhati dari jauh bapa. Dengan kudratnya, dia menebang pokok dan membakar pokok kering.

Aku yang masih kecil tidak dibenarkan sangat untuk berjalan-jalan kerana masih banyak pokok, selain tanah gambut (hutan) becak.

Masih segar di ingatan aku ketika duduk di pondok kecil ketika itu. Aku memerhati keadaan sekeliling dan bercakap sendiri.

“Tok duhal tanah baru bapa.” Sambil ketawa kecil aku teringat dengan pelan penempatan baharu yang ditunjukkan oleh bapaku dua hari sebelum itu.

“Bukan perumahan tetapi tanah hutan,” kataku seorang diri.

“Syukur kita dapat tanah tok Har. Ada juak tanah pake kita polah rumah. Sinun kelak bapa nak molah rumah,” jelas bapaku sambil menunjukkan lokasi rumah didirikan suatu hari kelak.

Bapaku berehat dan kami makan bekalan yang dibawa tadi.

Ketika bapa berehat, aku mula melihat sekeliling tanah kami. Kawasan tanah gambut dipenuhi air hutan.

Air di parit juga air hutan – jernih dan sejuk. Sejak hari itu, setiap hujung minggu aku mengikut bapaku ke tanah baharu kami.

Walaupun tidak banyak dapat dilakukan, aku cuba membiasakan diri di tempat baharu.

Aku juga mempunyai rakan baharu iaitu budak Iban yang tinggal di satu lorong tidak jauh dari tanah kami.

Dia mengajar aku memancing di kawasan hutan. Bukan perumahan tetapi tanah hutan.

Apa-apa pun, ini pengalaman pertama aku meneroka hutan untuk dijadikan tempat kediaman kami masih utuh hingga hari ini.

Terima kasih bapa.

Suara Sarawak