KUCHING: Rumah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Jalan Bampfylde kini dibuka sebagai pusat aktiviti kesatuan apabila CUEPACS Negeri Sarawak menawarkan penggunaan kemudahan itu secara percuma kepada kesatuan gabungan bermula tahun hadapan.
Pengerusi CUEPACS Sarawak, Kullin Djayang berkata, jabatan kerajaan dan syarikat swasta turut digalakkan menggunakan kemudahan tersebut bagi penganjuran program masing-masing dengan kadar bayaran yang berpatutan.
“Rumah CUEPACS telah melalui kerja-kerja penyelenggaraan asas bagi membolehkan ia digunakan sepenuhnya sebagai pusat penganjuran aktiviti dan program kesatuan.
“Rumah ini telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sarawak kepada CUEPACS sebagai tempat operasi bagi semua kesatuan yang ada di negeri ini.
“Sebelum ini keadaannya agak sunyi, namun selepas kerja penyelenggaraan dilakukan, ia kini sedia digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Kesyukuran dan Perasmian Rumah CUEPACS yang berwajah baharu di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan atas kehadiran ahli kesatuan dan berharap lebih banyak program dapat dianjurkan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas.
“Kita menerima dengan hati terbuka semua ahli yang ingin bersama-sama menggerakkan kesatuan ini dan amat menggalakkan penubuhan kesatuan baharu di Sarawak,” tambahnya.
Majlis perasmian Rumah CUEPACS itu telah disempurnakan oleh Setiausaha Agung CUEPACS Malaysia, Hasmi Hamidan, dengan kehadiran kira-kira 100 ahli kesatuan gabungan bagi memeriahkan acara berkenaan.
PIX: KENANGAN… Fadli Mohd (tengah) dan Kullin (empat kiri) merakam gambar bersama ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada Majlis Malam Kesyukuran dan Perasmian Rumah CUEPACS yang kini berwajah baharu.





