SIBU: Seorang wanita warga emas terpaksa dipindahkan ke tingkat atas rumahnya selepas kediamannya di Lorong Kapor 2 dinaiki air sehingga paras dua kaki pada pagi tadi.
Komander Operasi PBK II TBK I Anuar Eli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 9.40 pagi.
“Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah mengambil masa kira-kira empat minit ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Anuar, sejurus pasukan bomba ke lokasi, didapati bahagian dalam rumah tersebut telah dinaiki air setinggi dua kaki.
Sehubungan itu kata Anuar, anggota bomba membantu mengangkat mangsa ke bahagian rumah yang lebih selamat bagi mengelakkan risiko kejadian tidak diingini.


