CUBAAN menceroboh rumah milik ahli kumpulan BTS, Jungkook mengejutkan ramai peminat!
Pada 30 Jun lalu, BigHit Music tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut, termasuk tindakan undang-undang terhadap perlakuan melampau terhadap ahli BTS.
Menurut BigHit, seorang wanita warga China ditahan selepas cuba memasuki kediaman Jungkook pada 11 Jun lalu, iaitu hari beliau menamatkan perkhidmatan tenteranya.
Wanita tersebut dilaporkan cuba memasukkan kata laluan di pintu rumahnya dan berjaya ditahan di lokasi kejadian.
Syarikat itu turut mendedahkan bahawa siasatan polis sedang dijalankan dan mereka menyerahkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebagai bukti untuk memastikan pelaku menerima hukuman yang sewajarnya.
BigHit turut menegaskan bahawa mereka sedang mengambil tindakan undang-undang secara berterusan terhadap penyebaran fitnah, maklumat palsu, gangguan seksual, serta serangan peribadi terhadap ahli BTS di media sosial dan forum dalam talian.
Beberapa kes telah dikenakan denda, manakala lebih banyak kes kini sedang berjalan di mahkamah.
“Kami segera melaporkan kes penghendap kepada pihak polis dan memfailkan permohonan perintah sekatan,” jelas BigHit.
“Tiada sebarang kompromi terhadap pelanggaran privasi dan keselamatan artis kami,” tambah kenyataan itu lagi.
BigHit turut menyeru para peminat agar terus melaporkan insiden seperti ini melalui platform Perlindungan Hak Artis HYBE bagi membantu usaha undang-undang yang sedang dijalankan.



