Rumah mampu milik terus dibina di bandar – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited menyediakan perumahan mampu milik selesa kepada golongan B40 dan miskin bandar, terutama di kawasan pesat membangun walaupun berdepan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan juga berdepan cabaran menjaga kebajikan golongan miskin bandar, terutama warga Kuala Lumpur di kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta, serta penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Dalam menyahut cabaran yang saya sebutkan ini, baru-baru ini kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur.

“Panduan ini bertujuan membangunkan semula kawasan usang dan tidak ekonomik seperti Perumahan Awam Sri Labuan,” katanya pada majlis penyerahan kunci kepada pemilik Residensi Razakmas2 di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, panduan berkenaan juga disasarkan supaya kawasan terbabit berwajah baharu, ‘vibrant’ dan mampu berdaya saing, sekali gus memperbaiki visual dan meningkatkan nilai hartanah setempat.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berkenaan hanyalah sebahagian daripada usaha kerajaan membantu rakyat memiliki rumah sendiri yang bersifat mampu milik dan selesa.

Sejak setahun lalu, katanya, banyak bantuan diberikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk membelanjakan RM40 juta untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah.

“Ia untuk membaiki bumbung, tangga, mengecat bangunan serta pembaikan utiliti membabitkan 63 projek di bawah DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selain 13 projek di Labuan.

“Ini semua dilaksanakan untuk memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penyempurnaan projek Residensi Razakmas 2 yang tertangguh selama 10 tahun adalah bukti niat ikhlas, tumpuan dan usaha gigih jentera kerajaan dalam memastikan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.

Beliau turut berkongsi kegembiraan 395 pemilik Residensi Razakmas2 selaku penduduk asal Perumahan Awam Sri Labuan, yang menerima kunci rumah baharu mereka.

Kediaman itu jauh lebih selesa berbanding perumahan awam yang hanya berkeluasan 400 hingga 528 kaki persegi, dengan hanya satu atau dua bilik.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada 395 pemilik rumah yang menerima kunci rumah Residensi Razakmas2 secara percuma, serta kepada 245 penyewa (di Perumahan Awam Sri Labuan) yang ditawarkan pemilikan rumah dengan harga subsidi RM198,000.

“Selepas inisiatif pembaharuan semula (Perumahan Awam Sri Labuan) yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, pemilik Residensi Razakmas2 akan mendapat rumah berkeluasan 805 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta berbumbung, dewan serba guna dan taman permainan,” katanya.

Beliau menegaskan, nilai pasaran semasa sekitar rumah berkenaan kini ialah RM300,000, berbanding nilai rumah sebelum ini yang dibeli dengan harga RM21,000 hingga RM28,000, iaitu peningkatan 10 kali ganda.

Pada majlis sama, Muhyiddin menyerahkan plak kunci kepada 10 pemilik Residensi Razakmas2 sebagai simbolik penyerahan itu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. – BERNAMA

Suara Sarawak