MIRI: Sebahagian daripada sebuah rumah mengalami kebakaran pada pagi tadi di RPR, Lorong 3, Permyjaya di sini.
Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong menerima panggilan terus ke balai daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) yang melaporkan tentang kebakaran rumah.

Psukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Lutong, yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Mohd Faizul Ali, diarah respon ke lokasi kejadian.
Jentera FRT SCANIA BGR 4022 dan 4X4 VGR 8847 telah dikerahkan bersama lima anggota bomba ke lokasi kejadian yang terletak sembilan kilometer dari balai.
“Setibanya PKO di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran rumah, mengakibatkan kemusnahan lebih kurang 30 peratus rumah tersebut.
“Api pada ketika ini sedang marak membakar di bahagian stor rumah tersebut,” laporan BBP Lutong memaklumkan.
Setelah membuat ‘size up’ berpandukan konsep RECEO, anggota bomba membuat pemadaman dengan membentang satu aliran 100 kaki satu pancutan air daripada pili bomba secara ‘offensive’ sehingga api benar-benar padam sepenuhnya.
Setelah berjaya memadam api setengah jam kemudian dan memastikan keadaan selamat, anggota bomba bertolak balik ke balai.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Turut hadir untuk membantu operasi adalah Pegawai Kanan merangkap Ketua BBP Lutong, PBT II Henry Jugah, selain dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).


