KAPIT: Sebuah rumah panjang 29 pintu di Jalan Song Temalat, Nanga Sungai Sipan di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran awal pagi tadi, menyebabkan penduduk tinggal sehelai sepinggang.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kejadian berlaku sekitar jam 4.21 pagi apabila pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan.


“Seramai 13 anggota bersama dua jentera jenis FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song dikejarkan ke lokasi sejurus panggilan diterima,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, rumah panjang jenis tidak kekal itu terbakar 100 peratus ketika pasukan bomba tiba di lokasi.


“Pasukan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada jam 6.33 pagi sebelum kerja-kerja pemadaman sisa dan pemeriksaan menyeluruh (overhaul) dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.
Beliau menambah, setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut dan semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.


Punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat pihak berkuasa.
Sementara itu, penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini ditempatkan sementara di lokasi selamat berhampiran rumah panjang berkenaan.
Kejadian ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan dan agensi kebajikan yang telah menggerakkan bantuan segera kepada mangsa terjejas.







