MUKAH: Sebuah rumah pekerja binaan di Jalan Tiong Hua, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi, namun semua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.06 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja jenis tidak kekal (sementara) berkeluasan kira-kira 60 x 40 kaki persegi yang mempunyai 13 pintu dan didiami pekerja buruh binaan.
“Kebakaran tersebut mengakibatkan rumah berkenaan musnah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaksanakan kerja pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 300 kaki dengan menggunakan sumber air daripada pam jentera.
Tambahnya, ketiadaan sumber air berhampiran lokasi menyebabkan pasukan bomba mendapatkan bekalan air daripada pili bomba terdekat yang terletak di kawasan perumahan berhampiran bagi tujuan mengisi semula air ke dalam jentera sepanjang operasi pemadaman.
Operasi berjaya dikawal pada jam 12.44 tengah malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.50 pagi.




