

SRI AMAN: Sebuah rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di jalan rumah panjang Wong Panjai Lubok Antu di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.55 pagi.
“Bagaimanapun Pasukan Bomba Sukarela Lubok Antu telah membuat pemadaman awal sebelum ketibaan bomba dari Betong.
“Kita hanya bertindak memadam sisa-sisa kebakaran yang tinggal bagi mengelak kebakaran berulang dan memastikan keadaan benar – benar selamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Difahamkan kesemua enam mangsa sempat keluar dari kediaman itu untuk menyelamatkan diri.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.15 petang dan operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).



