ARTIKEL

KEMERIAHAN sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan hanya dirasai umat Islam di Malaysia, malah turut diraikan masyarakat berbilang kaum menerusi penganjuran rumah terbuka, terutama di Sarawak.

Rumah Terbuka Aidilfitri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BIASANYA Rumah Terbuka Aidilfitri (RTA) diadakan selepas hari raya pertama atau kedua, setelah menziarahi ahli keluarga terdekat. Ada yang mengadakannya selepas seminggu raya, hingga pertengahan Syawal.

Malah ada juga pada minggu terakhir raya. Namun tidak bagi golongan kenamaan yang biasanya mengadakan RTA pada hari raya pertama, kedua dan ketiga.

Ia diadakan di tempat khas (dewan besar), atau hotel yang mampu memuatkan ribuan tetamu, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa, agama, kecil, tua dan muda. Inilah masa terbaik untuk pemimpin bertemu rakyat secara dekat, sambil menjamu selera dengan pelbagai hidangan, minuman dan mendengar muzik (lagu raya) yang mendamaikan.

Sebagai negeri yang sangat sinonim dengan perpaduan kaum, RTA di Sarawak cukup meriah, setiap kali raya. Malah ia turut diadakan dalam perayaan lain seperti Gawai Dayak, Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Rumah Terbuka merupakan sesuatu perayaan agama disambut oleh penganut pelbagai agama dengan tujuan memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat jelata.

Sebelum ini, konsep RTA diadakan secara kecilkecilan, tuan rumah menjemput rakan-rakan datang ke rumah untuk menikmati pelbagai juadah

Rakan-rakan daripada kaum Melayu, Cina, India dan lainlain turut dijemput.

Oleh itu amalan Rumah Terbuka memberi kefahaman kepada rakyat tentang nilai hidup ajaran kaum berlainan yang menganjurkan sifat berbaik-baik sesama manusia.

Amalan RTA ini sesuatu yang unik bagi Malaysia, telah mendorong menyumbang kepada keamanan dan keharmonian di negara kita.

Menganjurkan atau memenuhi jemputan RTA berbeza dengan amalan ziarah biasa.

Ia kerana amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa asalkan bukan pada waktu yang dilarang.

Yang pasti, RTA mempunyai makna tersendiri, bukan sekadar penyatuan dalam kepelbagaian serta mengukuhkan ikatan silaturahim, tetapi juga sebagai tradisi dan budaya saling menghormati dan menghargai.

Ia juga sebagai tanda menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran setelah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan, dan pelbagai amalan sunat yang menggandakan pahala.

Oleh itu, RTA dilihat sebagai budaya murni masyarakat Islam di seluruh Malaysia.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda; kaum jahiliyah dalam setiap tahunnya mempunyai dua hari yang digunakan untuk berpesta ria (bergembira).

Lalu ketika Baginda datang ke Madinah, Baginda bersabda; kamu memiliki dua hari yang biasa digunakan berpesta ria (bergembira), sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan dua hari tersebut dengan hari yang lebih baik, iaitu Aidul Fitri dan Aidul Adha” (Riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i).

Syekh Muhammad Hasyim Asy’ari dalam kitabnya Risalah fil Aqaid; menjelaskan bahawa dua hari pada setiap tahun yang digunakan untuk pesta atau perayaan besar oleh kaum jahiliyah ialah hari Nairuz dan Marjaan.

Ia diisi dengan pesta mabuk dan menari. Dikatakan hari Nairuz dan Marjaan merupakan hari raya orang Parsi kuno. Setelah turunnya kewajiban puasa Ramadan, Rasulullah SAW menggantikan Nairuz dan Marjaan dengan Hari Aidul Fitri (Hari Raya Aidilfitri) dan Aidul Adha (Hari Raya Korban).

Ia bertujuan agar umat Islam mempunyai tradisi yang lebih baik dan bertepatan dengan apa yang disyariatkan oleh Allah SWT.”

Hakikatnya, RTA harus dilihat dari sudut positif, yakni lebih banyak manfaat daripada mudarat.

Sejak turun-temurun, sudah menjadi kebiasaan, kita akan mengemas rumah sebaik mungkin, setiap kali menjelang Aidilfitri, di samping memakai baju baharu, menyediakan hidangan istimewa yang membangkitkan aroma raya, kerana Aidilfitri itu adalah hari untuk diraikan dan untuk bergembira. Oleh itu berbelanja lebih adalah perkara biasa bagi kebanyakan masyarakat kita, asalkan tidak keterlaluan.

Sejak RTA dipopularkan sekitar pertengahan 90-an, ia berkembang pesat, seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ hingga kini.

Semakin ramai yang mengadakannya, malah ada yang setiap tahun menabung, khas untuk RTA. Bagi mereka, RTA adalah salah satu terapi untuk mengukuhkan persaudaraan dan menguatkan persahabatan.

Dari segi menu pula, tidak semestinya ketupat, lemang dan rendang.

Ubahlah selera dengan menu lain, misalnya makanan laut, atau masakan kampung, seperti asam pedas atau ulam-ulaman.

Namun kita tidak perlu membuat penilaian dan andaian, sama ada seseorang itu mengadakan RTA atau sebaliknya.

Tiada kewajipan pun pada RTA, terpulang kepada kemahuan masing-masing.

Ia tidak sepatutnya menjadi ikutan semata-mata atau sesuatu yang harus dipenuhi.

Bagi yang selesa dikunjungi di rumah, memadai dengan juadah dan kek seadanya untuk menjamu tetamu. Tetamu pula tidaklah mengharapkan sesuatu yang lebih daripada tuan rumah, kerana kunjungan itu lebih kepada ‘pengikat’ silaturahim.

Ada juga yang mengadakan makan-makan, sambil bersantai bersama-sama rakan-rakan sekerja di pejabat, atau membawa mereka ke restoran atau kedai makan.

Ia adalah sebahagian daripada budaya kita, sebagai tanda persahabatan dan penghargaan kepada rakan sekerja, ketika musim perayaan.

Yang pasti, seboleh-bolehnya setiap kali Aidilfitri akan meninggalkan kesan positif pada diri kita.

Jadikan tradisi RTA atau menjamu rakan-rakan untuk berbuat amal kebajikan, dan sebagai tanda kita meraikan kegembiraan pada bulan yang penuh bermakna ini.

Mungkin pada masa akan datang konsep Rumah Terbuka ini diterapkan pada bulan Ramadan, terutama bagi mereka yang berkemampuan.

Ia lebih kepada bersedekah atau menyediakan makanan/minuman berbuka untuk sanak-saudara, rakan-rakan serta golongan yang memerlukan. Ia salah satu cara kita meraikan kesyukuran, di samping meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. 

BERITA LAIN

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

Dapur rumah di awan biru

PETANG Ahad, saya terbang ke Kuala Lumpur dari Kuching menggunakan pesawat milik kita rakyat Sarawak — AirBorneo. Selama ini, saya banyak menyunting pengalaman rakyat Sarawak

BERITA TERBARU