KUCHING: Tuntutan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan penyelesaian menyeluruh menerusi rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, khususnya berkaitan hak kewangan, hasil petroleum dan pembahagian kuasa.
Penganalisis politik, Dr Romzi Ationg berkata, dialog berterusan antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan semangat MA63 direalisasikan secara adil dan menyeluruh, dengan mengambil kira kepentingan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
“Penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengambilalihan MASwings oleh Sarawak untuk dijenamakan sebagai AirBorneo mencerminkan kemajuan penting dalam usaha memperkukuh autonomi negeri.
“Bagaimanapun, perkembangan itu perlu disusuli usaha menyelesaikan tuntutan lain yang berkaitan dengan hak kewangan, hasil petroleum, pembahagian kuasa serta pelaksanaan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak bagi mengulas pembentangan Belanjawan 2027.
Beliau menambah, dialog berterusan antara Persekutuan dengan Sarawak penting bagi memastikan semangat MA63 direalisasikan secara adil dan menyeluruh.
Dr Romzi berkata, rundingan yang konsisten membolehkan kedua-dua pihak membincangkan isu berbangkit secara konstruktif, selain mencari penyelesaian yang mengambil kira kepentingan Sarawak serta kerangka perlembagaan negara.
Menurutnya, usaha merealisasikan MA63 perlu merangkumi pelbagai aspek hak dan bidang kuasa negeri dan tidak hanya tertumpu pada perkembangan berkaitan pengurusan aset strategik.
“Sehubungan itu, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Sarawak perlu diteruskan bagi memastikan tuntutan yang masih berbangkit dapat ditangani melalui rundingan yang teratur.
“Usaha berkenaan penting bagi memelihara semangat pembentukan Malaysia, selain memastikan hak dan kepentingan Sarawak terus diberikan perhatian sewajarnya dalam hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan,” katanya lagi.



