KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 yang diluluskan sebulat suara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, membuka lembaran baharu kepada agenda keselamatan makanan dan transformasi sektor pertanian negeri.
RUU yang dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Stephen Rundi Utom itu diluluskan selepas dibahaskan oleh seramai 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut Rundi, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak bakal membawa beberapa transformasi besar pembangunan sektor padi negeri termasuk dari sudut dasar, pengurusan tanah, pelaburan dan penggunaan teknologi moden.
“Antara pendekatan strategik utama ialah pembangunan kawasan penanaman padi di atas tanah kerajaan negeri bagi memastikan perancangan jangka panjang serta penggunaan tanah yang lebih tersusun dan efisien untuk tujuan pertanian.
“Pewartaan tanah kerajaan negeri untuk pembangunan padi merupakan langkah penting bagi menjamin ketersediaan tanah dan mengelakkan konflik penggunaan tanah pada masa depan.
“Ia sekali gus menyediakan asas yang lebih stabil untuk perancangan pertanian berskala besar serta pelaburan jangka panjang,” katanya pada bacaan ketiga RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan DUN Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata penekanan beberapa ADUN ke atas aspek pengurusan kewangan yang telus, penyediaan anggaran tahunan dan audit akaun, pemantauan prestasi melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas serta pengukuhan integriti dan langkah antirasuah adalah tepat dan signifikan.
Mengulas lanjut ujarnya, kerjasama awam-swasta turut menjadi elemen penting dalam mempercepat pembangunan industri berkenaan bagi membolehkan perkongsian kepakaran, teknologi dan sumber untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek.
Dengan penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak ujarnya, usaha meningkatkan pengeluaran dan potensi eksport beras premium Sarawak akan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berdaya saing di peringkat global.
“Kebimbangan berkaitan penggunaan baja organik, biojisim dan integrasi teknologi hijau dalam industri padi dan beras juga akan diberikan perhatian serius oleh lembaga tersebut.
“Dalam masa yang sama, memainkan peranan penting dalam menyelaras serta memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan ke arah sistem pertanian yang lebih mampan, moden dan berdaya tahan,” tambahnya.
Katanya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperluas penggunaan teknologi hijau dalam agenda pembangunan pertanian Sarawak.



