ARTIKEL

Abdul Yakub ketika membahaskan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak, 2026, pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima DUN Sarawak Ke-19, hari ini. (FOTO: RAMIDI SUBARI)

RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak perkukuh sekuriti makanan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 merupakan satu langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh sekuriti makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import beras pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penubuhan lembaga tersebut merupakan usaha penting bagi menjamin bekalan makanan Sarawak, melindungi petani tempatan dan memodenkan sektor pertanian negeri.

“Perkembangan global sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membuktikan bahawa rantaian bekalan makanan dunia amat rapuh dan mudah terjejas akibat pelbagai faktor luar.

“Pandemik, konflik geopolitik, perubahan iklim serta peningkatan kos pengangkutan telah memberi kesan besar kepada pasaran makanan global.

“Perkara ini mengajar kita bahawa keselamatan makanan merupakan keselamatan negara,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, bagi Sarawak, beras bukan sekadar komoditi biasa, malah keperluan asas dalam setiap isi rumah selain berkait rapat dengan kestabilan sosial masyarakat.

Ujarnya, walaupun Sarawak mempunyai keluasan tanah dan potensi pertanian yang besar, negeri ini masih bergantung kepada import beras.

“Keadaan ini menyebabkan kita terdedah kepada risiko di luar kawalan seperti kenaikan harga, kekurangan bekalan dan ketidakstabilan pasaran antarabangsa.

“Sarawak tidak boleh selamanya bergantung kepada jelapang padi negara lain. Kita mesti memperkukuh jelapang padi sendiri, memperkasa petani tempatan dan menjamin masa depan makanan rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, katanya, RUU tersebut menyediakan kerangka yang lebih terselaras dan berfokus bagi mengurus serta membangunkan industri padi dan beras di Sarawak.

Jelasnya, di bawah RUU itu, lembaga berkenaan akan diberi kuasa untuk merangka dasar, menyelaras program pembangunan, mengawal selia aktiviti industri, menggalakkan pelaburan serta melaksanakan penyelidikan dan pembangunan.

“Paling penting, RUU ini memberi hala tuju serta perancangan jangka panjang kepada industri yang berkait secara langsung dengan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha