ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

RUU penubuhan Majlis Media Malaysia pada peringkat akhir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi kini pada fasa akhir menyediakan draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMC), kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penubuhan majlis media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara, dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri. 

“Insya-Allah (penubuhan Majlis Media Malaysia) tidak berapa lama lagi,” katanya ketika berucap melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited memastikan kebajikan pengamal media di negara ini terbela dan Jabatan Penerangan (JaPen) diseru mempergiatkan pelbagai inisiatif yang akan memberi manfaat kepada golongan itu.

Fahmi berkata satu pertemuan telah diadakan dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, bagi memastikan kebajikan wartawan sambilan (stringer) terbela, khususnya menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Daripada 9,750 pemegang kad perakuan media, lebih 6,000 adalah wartawan sambilan.

Sementara itu, Fahmi meminta JaPen mengkaji kewajaran meningkatkan tempoh perakuan kad pengamal media antarabangsa, yang ketika ini sah hanya selama setahun sahaja berbanding media tempatan iaitu dua tahun.  

Baca lain  Kerugian negara kira-kira RM63 bilion sepanjang PKP

Fahmi berpendapat ia adalah wajar memandangkan ramai rakan media yang terlibat dalam media antarabangsa adalah warga Malaysia yang berpangkalan di negara ini. – BERNAMA

Caption: Fahmi Fadzil bergambar bersama tetamu pada Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU