KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak (SPRB) 2026 disifatkan sebagai langkah penting bagi memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan rantaian bekalan global, kenaikan kos serta cabaran perubahan iklim.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, meskipun kawasan diwakilinya merupakan kawasan bandar dan tidak mempunyai sawah padi, RUU tersebut tetap memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat di Bintulu.
Ujarnya, beras bukan sekadar isu pertanian semata-mata, sebaliknya berkait rapat dengan kos sara hidup, kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan perniagaan kecil di kawasan bandar.
“Tanjong Batu mungkin tidak menghasilkan padi, namun rakyat di kawasan ini tetap membeli dan bergantung kepada bekalan beras setiap hari. Apabila harga beras meningkat atau bekalan terganggu, penduduk bandar antara yang paling cepat merasai kesannya,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut, hari ini.
Beliau berkata, kebergantungan tinggi Sarawak dengan bekalan beras import menunjukkan negeri ini memerlukan satu institusi khusus bagi menyelaras pembangunan industri padi dan beras secara lebih sistematik serta berkesan.
Katanya, penubuhan SPRB mampu menjadi platform penting untuk memperkukuh perancangan jangka panjang termasuk aspek pengeluaran, penyimpanan, pengedaran, penyelidikan dan penguatkuasaan dalam industri tersebut.
Dalam masa yang sama, Johnny Pang berkata, kawasan bandar seperti Bintulu juga memainkan peranan strategik dalam rantaian bekalan makanan negeri memandangkan bandar itu memiliki kemudahan pelabuhan, logistik, gudang penyimpanan serta infrastruktur industri yang berkembang pesat.
“Bintulu mempunyai potensi besar untuk menyokong sektor hiliran seperti penyimpanan, pembungkusan, pengedaran dan logistik beras sekiranya pengeluaran tempatan Sarawak terus meningkat pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa data yang tepat berkaitan pengeluaran, penggunaan dan kapasiti simpanan beras amat penting bagi memastikan kerajaan dapat merancang dasar keselamatan makanan secara lebih berkesan.
Selain itu, beliau menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan dalam sektor padi termasuk penggunaan benih berkualiti, teknologi moden, sistem pengairan serta kaedah pemprosesan lebih efisien bagi meningkatkan produktiviti industri tersebut.
Dalam pada itu, Johnny Pang turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk memastikan SPRB memberi tumpuan kepada keseluruhan rantaian bekalan, memperluas libat urus bersama pengusaha industri serta melaksanakan penguatkuasaan secara adil agar tidak membebankan petani dan peniaga kecil.



