KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kedaulatan makanan negeri serta mengurangkan kebergantungan bekalan import beras yang semakin terdedah kepada ketidaktentuan global.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak (SPRB) bukan sekadar perubahan pentadbiran, sebaliknya menjadi asas kepada autonomi Sarawak dalam mengurus sektor pertanian makanan ruji negeri itu.
Katanya, selama ini pengurusan industri padi dan beras Sarawak tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 di peringkat Persekutuan yang dilihat kurang mengambil kira keadaan serta keperluan khusus Sarawak.
“Faktor seperti isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), kedudukan geografi yang luas serta cabaran logistik antara kawasan bandar dengan pedalaman memerlukan pendekatan tersendiri yang lebih sesuai dengan realiti Sarawak.
“Melalui SPRB, Sarawak akan mempunyai kuasa lebih tersusun dalam mengawal penggunaan tanah pertanian, pengeluaran lesen, pemantauan mutu beras serta penyelarasan pengedaran bekalan dalam negeri,” katanya ketika membahaskan RUU tersebut, di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa keadaan semasa rantaian bekalan makanan dunia menunjukkan Sarawak tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada sumber luar bagi memenuhi keperluan makanan rakyat.
Menurutnya, konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah serta ketegangan antara kuasa besar dunia kini mula memberi kesan langsung kepada perdagangan dan eksport beras di rantau Asia Tenggara.
Katanya, laporan antarabangsa menunjukkan kos penghantaran laut di Vietnam meningkat mendadak, manakala Thailand turut berdepan gangguan eksport berikutan risiko keselamatan laluan perdagangan melalui Selat Hormuz.
“Kenaikan harga bahan api dan baja turut menekan pengusaha sawah di negara pengeluar utama beras sehingga ada dalam kalangan petani mempertimbangkan untuk menghentikan penanaman kerana kos operasi yang terlalu tinggi.
“Tahap Sara Diri (SSL) beras Sarawak yang masih sekitar 21 peratus membuktikan Sarawak perlu segera memperkukuh pengeluaran domestik bagi menjamin kestabilan bekalan makanan pada masa depan,” tegasnya.
Jelasnya, Malaysia turut membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun untuk mengimport beras dari negara luar termasuk Vietnam dan Thailand, sekali gus menunjukkan betapa pentingnya Sarawak mempunyai mekanisme sendiri bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan global.
Beliau berkata, RUU tersebut juga akan menjadi asas perundangan kepada pelaksanaan stok penimbal strategik serta intervensi kecemasan supaya bekalan beras rakyat Sarawak dapat terus dipastikan mencukupi walaupun dunia berdepan krisis antarabangsa.



