KUCHING: Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka melonjakkan jumlah pengunjung ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2026 dengan sasaran lebih 20,000 orang bakal membanjiri festival tiga hari itu bermula 26 hingga 28 Jun depan di Kampung Budaya Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima pada penganjuran tahun-tahun sebelumnya.
“Lokasi penganjuran festival mempunyai kapasiti tertentu yang perlu dikekalkan bagi memastikan keselesaan dan pengalaman terbaik kepada pengunjung.
“Tempat ini tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil, namun cukup sesuai untuk mengekalkan suasana festival yang unik serta dekat dengan alam semula jadi.
“Apa yang lebih penting ialah pengunjung dapat menikmati pengalaman yang selamat dan menghiburkan setiap kali menghadiri festival ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.
Tambah beliau, penganjur tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada kualiti persembahan serta pengalaman keseluruhan yang dinikmati pengunjung.
“Bahkan, festival ini berjaya menarik kehadiran tetamu kenamaan pada tahun-tahun sebelumnya termasuk Sultan Selangor dan Raja Perlis bersama keluarga baginda,” ujarnya.
Menyentuh mengenai pengisian acara, Abdul Karim menjelaskan barisan artis pada tahun ini menggabungkan penghibur tempatan dan antarabangsa bagi menawarkan kepelbagaian genre muzik kepada pengunjung.
“Setiap pengunjung mempunyai minat muzik yang berbeza, termasuk muzik tempatan, Caribbean dan juga kontemporari.
“Apabila festival berlangsung selama tiga hari, pengunjung boleh memilih sama ada untuk hadir sepanjang tempoh festival atau hanya datang pada hari persembahan artis yang mereka minati,” jelasnya.
Mengenai aspek keselamatan, beliau menegaskan pemantauan rapi termasuk penggunaan Unit K9 akan diteruskan bagi memastikan festival berkenaan bebas daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Bukan sahaja RWMF, malah semua acara hiburan dan program muzik yang kita anjurkan turut mengambil kira perkara ini kerana kita tidak mahu dadah dijual atau digunakan secara terbuka,” tegasnya.
Dalam perkembangan berlainan, Abdul Karim turut menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan kesan kenaikan harga bahan api global yang boleh memberi impak kepada sektor pelancongan, termasuk kos perjalanan udara susulan konflik di Asia Barat yang sedang berlaku.
“Peningkatan harga minyak dunia boleh menyebabkan kenaikan harga tiket penerbangan dan kos operasi lain yang akhirnya memberi kesan kepada pergerakan pelancong antarabangsa.
“Pun begitu, Malaysia masih menikmati harga bahan api yang lebih rendah berbanding beberapa negara lain di rantau ini hasil subsidi kerajaan.
“Perkara ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan dan pergerakan pelancong susulan lawatan kerja sehari beliau di sini hari ini,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Datuk Salleh Askor dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Fredrick.

Filem Madu Tiga kembali memukau melalui konsert
KUALA LUMPUR: Filem komedi klasik Madu Tiga arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee kembali memukau peminat menerusi persembahan unik Madu Tiga: Live in Concert


