Sabah, Sarawak sepakat perkukuh kerjasama pembangunan ekonomi dan sosial

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak sepakat untuk mengukuhkan kerjasama dari segi pembangunan ekonomi dan sosial demi manfaat rakyat di kedua-dua negeri.

Ini sejajar dengan tumpuan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan asas penduduk di kedua-dua negeri itu yang masih ketinggalan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Sabah dan Sarawak bukan sahaja memiliki kawasan yang luas tetapi mempunyai hasil yang banyak.

Katanya ia bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negeri malah dalam merealisasikan pembangunan negara.

“Kita sedar dan tahu Sabah dan Sarawak, dua negeri bukan sahaja luas dan besar tetapi punyai hasil yang banyak. Ini membawa kebaikan kepada negara kita.

“Kita perlu lihat peranan untuk membantu negara tetapi kedua-dua negeri yang agak jauh ketinggalan dari segi prasarana berbanding dengan tempat lain,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat delegasi kerajaan negeri Sarawak diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Lawatan kerja dua hari kerajaan negeri Sarawak itu bermula hari ini turut disertai beberapa menteri dan pegawai kerajaan.

Mereka turut diraikan pada jamuan makan malam ini; dan esok akan mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Mengenai lawatan itu, Mohd Shafie yakin lawatan itu bukan hanya mengukuhkan kerjasama dari segi pembangunan tetapi juga kekeluargaan yang terjalin antara dua negeri itu.

Katanya perkara yang dibincang pada pertemuan hari ini akan disusuli selepas ini bukan hanya dalam aspek pelancongan tetapi juga berkaitan minyak dan gas.

Dalam pada itu, Abang Johari pada sidang media sama berkata dengan keluasan besar dua negeri itu sudah tentu memerlukan banyak pembangunan infrastruktur.

Katanya Sabah dan Sarawak punyai banyak persamaan serta juga ada beberapa kekuatan.

“Sudah tentu ini dapat memperkukuhkan kekuatan Sabah dan Sarawak dari sudut pembangunan ekonomi dan sosial untuk tranformasi dua negeri ini.

“Pada masa sama, kekuatan ini dapat menyumbang kepada pembangunan Malaysia sebagai negara aman dan maju,” kata Abang Johari. – Bernama

Suara Sarawak