KUCHING: Hasrat Kuching City FC-Miri untuk kembali bangkit meraih kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 2-1 di tangan Sabah FC II pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada babak pertama. Sabah FC II yang jelas mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri berjaya menjaringkan gol awal menerusi Mohammad Saifuddin Abdullah hasil sepakan penalti minit ke-9.
Namun, Kuching City FC bangkit sesudah itu dan berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol penyamaan dijaringkan Amierul Safuan Hasdi Susalman minit ke-26.
Aksi serang-menyerang diperagakan pemain kedua-dua pasukan sebaik bersambung perlawanan babak kedua.
Nyata, segalanya memihak kepada tuan rumah apabila Harvester Kulisi bijak menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol kedua minit ke-58.
Kedudukan tersebut 2-1 kekal memihak kepada Sabah FC II hingga ke wisel penamat. Ia merupakan kekalahan kedua buat anak-anak buah Mohamad Hakimi Man selepas mengharungi lima perlawanan setakat ini.
Kekal mengumpul 7 mata, dengan dua kemenangan dan sekali seri setakat ini.
Kuching City FC-Miri akan menentang Melaka FC di Stadium Hang Tuah pada 4 Jun depan.



