BINTANGOR: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Meradong mengagihkan sebanyak 300 pek bubur lambuk kepada orang ramai di sini bagi menyemarakkan sambutan Ramadan tahun ini.
Program tersebut turut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SABERKAS Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Selain bubur lambuk, orang ramai yang hadir turut menerima sumbangan air mineral dan buah kurma yang diagihkan oleh ahli pertubuhan berkenaan.
Program tersebut dijayakan secara gotong-royong oleh ahli SABERKAS yang terdiri daripada Unit Melayu, Cina dan Iban yang berganding bahu memastikan pengagihan berjalan lancar.
Kuong Hiing berkata program tersebut merupakan antara aktiviti tahunan pertubuhan berkenaan bagi menyantuni masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, inisiatif itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Ia mencerminkan semangat perpaduan serta kerjasama yang kukuh dalam kalangan ahli SABERKAS dan masyarakat di daerah Meradong.
“Lebih penting, program seperti ini memberi peluang kepada kita untuk berkongsi rezeki dan bersama-sama menyemarakkan suasana Ramadan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli SABERKAS yang terlibat atas komitmen dan kerjasama dalam memastikan program tersebut berjalan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.





