SIBURAN: Sacofa Sdn Bhd (SACOFA) bakal menjadi tulang belakang utama bagi memperkukuh infrastruktur digital dan meningkatkan kelajuan rangkaian internet di Sarawak, khususnya di kawasan bandar.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada penyedia telekomunikasi komersial susulan kekangan tertentu yang dihadapi syarikat terbabit untuk meningkatkan rangkaian internet.
“Justeru, saya telah mengarahkan SACOFA pagi tadi (semalam) untuk meningkatkan capaian ini dan mereka akan menjadi tulang belakang kepada kesalinghubungan kita, khususnya di kawasan bandar.
“Kerajaan Negeri akan menanggung kos bagi meningkatkan infrastruktur yang diperlukan menerusi SACOFA kerana syarikat itu dimiliki majoriti oleh kerajaan.
“Kemudian, kita harap usaha ini dapat meningkatkan kelajuan dan memperkukuh capaian internet kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Turun Padang Program Penyaluran Peringkat Kedua Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) di H&L, Eastern Mall di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan penggunaan teknologi satelit, Abang Johari berkata perkara itu mungkin dilaksanakan kemudian apabila Sarawak mempunyai satelit sendiri.
“Itulah sebabnya saya pergi kepada teknologi tinggi dan ekonomi baharu. Pada masa depan, kita tidak lagi bergantung kepada gentian optik. Kita bergantung kepada pengkomputeran awan,” katanya.
Menurutnya lagi, teknologi orbit rendah bumi kini sedang dikaji termasuk penggunaan cip baharu bagi capaian rangkaian di bumi.
“Kita masih mengusahakannya. Saya tidak tahu berapa lama kita akan mengusahakannya, tetapi sasaran saya ialah 2030,” katanya.
TAMAT



