KUCHING: Pemain Kuching City FC, Safawi Rasid menegaskan beliau tidak pernah menolak panggilan skuad kebangsaan sepanjang kariernya, susulan tindakannya meninggalkan kem latihan Harimau Malaya di China yang mencetuskan persoalan dalam kalangan penyokong.
Pemain sayap berusia 29 tahun itu berkata, kepulangannya ke Malaysia semalam disebabkan urusan keluarga, namun terdapat perkara yang tidak dapat didedahkan kepada umum.
“Saya bukan saja-saja tinggalkan kem Malaysia. Ada benda yang boleh cerita, ada benda yang tak boleh cerita.
“Setakat ini saya tak pernah lagi tolak tawaran pasukan Malaysia jika dipanggil sepanjang karier saya, Alhamdulillah.
“Sarung baju hitam kuning adalah kebanggaan saya,” katanya menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, hari ini.
Beliau turut menyertakan tanda pagar #FamilySafetyFirst sebagai gambaran bahawa keselamatan keluarga menjadi keutamaan, tanpa memperincikan perkara sebenar yang memaksanya pulang lebih awal.
Tindakan itu berlaku sehari selepas Safawi meninggalkan kem latihan kebangsaan di Zhaoqing, Guangdong, menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman.
Sebelum ini, Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan Safawi sudah memaklumkan masalah dihadapinya kepada pengurusan pasukan sebelum membuat keputusan pulang ke tanah air.
Beliau berkata, pihak pengurusan memahami situasi pemain itu dan menghormati keputusannya atas urusan keluarga.
Kepulangan Safawi menyaksikan Harimau Malaya kehilangan seorang lagi pemain ketika persiapan menghadapi China di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, esok.
Safawi sebelum ini tiba di China bersama enam pemain Kuching City FC yang turut menerima panggilan kebangsaan, namun hanya sempat menjalani satu sesi latihan sebelum pulang.
Enam pemain The Cats yang masih bersama skuad negara ialah Haziq Nadzli, Haziq Aiman, Rodney Celvin Akwensivie, Ariff Farhan Md Isa, Ryan Lambert dan Ramadhan Saifullah Usman.
Ketiadaan Safawi turut menambah cabaran buat Cheng Hoe selepas enam pemain Selangor FC menarik diri akibat kecederaan susulan aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City, Ahad lalu.
Safawi sebelum ini hadir ke kem kebangsaan dengan prestasi cemerlang selepas menjaringkan dua gol ketika membantu Kuching City menewaskan Gangwon FC 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) pada 5 November lalu.
Beliau turut menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti ketika The Cats menewaskan Selangor FC 2-0, sekali gus mengesahkan kemaraan ke final Piala FA buat kali pertama dengan kemenangan agregat 3-2.
Harimau Malaya dijadual menentang China pada 14 November sebelum berdepan Yaman pada 17 November ini, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Zhaoqing, Guangdong.



