DARO: Sikap segelintir masyarakat enggan mendapatkan maklumat daripada agensi kerajaan menjadi punca mereka terpinggir daripada menikmati pelbagai bantuan dan inisiatif yang disediakan.
ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, walaupun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan dan skim bantuan, masih ada yang ketinggalan kerana sikap tidak ambil peduli dalam mencari maklumat terkini.
Katanya, pihak kerajaan sentiasa terbuka dan menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan bantuan.
“Setiap kali menghadiri konvensyen atau mesyuarat agung bersama-sama masyarakat setempat, saya akan berkongsi perkembangan terkini berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan.
“Namun, untuk memahami perkara yang lebih terperinci seperti proses permohonan atau status bantuan, anda perlu berkunjung sendiri ke agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Sesi Libat Urus Senior Citizen Health Benefit (SCHB) dan Perkhidmatan Lain Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di Daerah Daro, di Dewan Masyarakat Daro, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Safiee turut menyeru pemimpin komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat untuk memainkan peranan aktif dalam menyalurkan maklumat kepada mereka yang memerlukan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, keberkesanan pelaksanaan dasar kemakmuran rakyat memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak agar matlamat kesejahteraan dapat dicapai sepenuhnya.
“Pihak kerajaan memperuntukkan dana yang besar untuk memastikan pendapatan negeri terus meningkat.
“Hasil pertumbuhan akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan kemudahan demi menjamin kesejahteraan bersama,” katanya lagi.
Tambahnya, masyarakat yang peka dan proaktif dalam mencari maklumat berpeluang menikmati bantuan sedia ada sekali gus meningkatkan taraf hidup sejajar dengan matlamat pembangunan negeri.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah dan wakil pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Haslinda Supu.







