KUCHING: Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) perlu terus meneroka teknologi baharu bagi memastikan Sarawak bukan sekadar menjadi pengguna, malah mampu muncul sebagai pencipta teknologi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara bidang yang memerlukan perhatian ialah keselamatan data susulan peningkatan risiko penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) yang boleh menyebabkan penipuan dan penyebaran maklumat palsu.

“Ketika ini, kita berhadapan dengan masalah penyalahgunaan data yang membawa kepada penipuan serta penyebaran maklumat palsu.
“Perkara ini perlu dikesan dan SAINS mempunyai penyelesaian tersendiri menerusi AI berdaulat iaitu pendekatan yang memberi penekanan kepada perlindungan data dalam penggunaan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-35 SAINS di Wisma Melayu, Kuching, malam tadi.
Abang Johari berkata, perlindungan data kerajaan dan maklumat penting perlu diberi keutamaan, terutama apabila penggunaan teknologi AI semakin berkembang.

Menurutnya, terdapat perbincangan kaedah reverse Deep Neural Network (DNN) yang berpotensi membantu mengesan maklumat palsu menerusi pemeriksaan aliran data secara songsang.
“Melalui kaedah ini, aliran data diperiksa secara songsang bagi membolehkan data yang keluar daripada sesuatu mesin diperiksa oleh satu lagi mesin untuk mengesan maklumat berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata, beliau belum dapat memastikan ketepatan kaedah berkenaan berdasarkan maklumat yang dibacanya.
Beliau turut berkongsi perbincangannya dengan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Hatta Rashid, yang mempunyai latar belakang perubatan, berkaitan persamaan konsep berkenaan dengan proses pemeriksaan DNA.
Abang Johari berkata, teknologi yang mampu mengesan maklumat palsu dijangka menjadi antara perkembangan penting pada masa depan, khususnya dalam usaha melindungi data daripada penyalahgunaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Sarawak perlu bergerak seiring dengan evolusi teknologi dan berusaha menghasilkan teknologi sendiri, manakala SAINS perlu terus berkembang serta mengambil bahagian dalam usaha berkenaan.





