SARIKEI: Peluang membawa pulang kepingan emas serta pelbagai hadiah misteri menanti peserta pada program Aerodance Remix anjuran Saberkas Cawangan Repok di Kompleks Sukan KPSU, 7 November ini.
Timbalan Pengerusi Saberkas Repok, Alfreda Darling Swithun berkata, program dianjurkan sebagai salah satu usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup aktif menerusi aktiviti kecergasan yang menyeronokkan.
“Penyertaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa sebarang had bagi memberi peluang kepada orang ramai menyertai aktiviti riadah berkenaan.
Program yang dijadual bermula pada 7 pagi itu akan dikendalikan oleh jurulatih aerobik profesional dari Sibu, Jimmy,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, peserta hanya dikenakan bayaran penyertaan sebanyak RM10 bagi mengikuti sesi senaman yang menggabungkan pergerakan aerobik dengan irama muzik rancak.
Selain menggalakkan kecergasan fizikal katanya, program itu turut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk meluangkan masa melakukan aktiviti sihat secara bersama.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk sekitar Sarikei dialu-alukan menyertai program berkenaan bagi memeriahkan penganjurannya.
“Kita berharap sambutan menggalakkan daripada masyarakat dapat menjadikan program ini sebagai platform memupuk kesedaran terhadap kepentingan kesihatan dan kecergasan dalam kehidupan seharian,” katanya.






