KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia tidak percaya terhadap tuduhan kononnya Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencuri, sebaliknya menggambarkan remaja itu sebagai seorang yang suka membantu rakan-rakannya.
Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-16, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-25 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Berkongsi keterangan saksi, peguam Rizwandean M. Borhan yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina berkata, saksi berkenaan menggambarkan Zara sebagai seorang pelajar yang ceria, aktif dan happy go lucky.
“Zara menghormati pelajar senior dan tidak pernah mengadu sebarang masalah atau tekanan kepada sesiapa. Saksi berkata, dia merasakan Zara kurang digemari oleh beberapa pelajar di asrama kerana ada yang memberi gelaran ‘Zara yang problem itu’ selepas menuduhnya mencuri.
“Saksi juga menyatakan dia tidak percaya terhadap tuduhan berkenaan… dan mengesahkan tidak mendengar sebarang bunyi jatuh atau kejadian ganjil sebelum insiden malam itu berlaku,” katanya kepada pemberita selepas prosiding.
Rizwandean berkata, saksi turut mendedahkan bahawa budaya memarahi dan memaki pelajar junior oleh pelajar senior wujud di asrama tersebut.
Menurutnya, ketika memberi keterangan, saksi dilihat sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior, termasuk kejadian yang dialaminya ketika dikenakan dalam Mesyuarat Aras (MA) — sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior.
“Akibat daripada MA itu, saksi sangat terkesan sehingga hari ini kerana pelajar senior kerap menyindirnya apabila bertemu di kawasan sekolah.
“Saksi berkata, dia pernah disindir oleh pelajar senior kerana merupakan seorang ‘Badar’ dan sering merampas telefon pelajar lain yang dibawa ke sekolah. Mereka menyindir saksi dengan kata-kata ‘tu na tu jibam’. ‘Jibam’ bermaksud ‘pe-report’ atau orang yang suka melaporkan. Saksi hanya buat tidak tahu dengan sindiran itu,” katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata, saksi kanak-kanak ke-17 memberitahu pernah melihat bekas torehan menyerupai parut “kod bar” pada lengan Zara ketika mereka berada di tandas asrama.
Ram berkata, saksi yang merupakan pelajar tingkatan satu memaklumkan bahawa parut tersebut ditunjukkan sendiri oleh mangsa.
“Dia (saksi) berkata, dia tidak tahu sebabnya dan tidak mahu bertanya lanjut, tetapi dia tahu apa itu ‘kod bar’. Apabila ditanya adakah banyak, dia menjawab ‘banyak juga… garis-garis banyak jugalah’,” katanya kepada pemberita.
Ram menambah, saksi turut mengesahkan pernah membaca diari milik Zara dengan kebenaran mangsa, namun kandungannya lebih banyak dikaitkan dengan saksi lain yang akan memberi keterangan kemudian.
Allahyarham Zara Qairina, 13 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Prosiding inkues bersambung Rabu ini.— BERNAMA






