BULI dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar atau remaja bukan satu perkara baharu.
Ia sudah lama berlaku dan sering dilaporkan di dada akhbar.
Paling membimbangkan kita apabila kes buli ini melibatkan kanak-kanak kerana umum mengetahui perbuatan ini boleh memberi kesan kepada kesihatan mental atau trauma yang berpanjangan.
Apakah yang dimaksudkan dengan perbuatan buli ini?
Adakah hanya dengan tindakan fizikal atau lisan juga boleh dikategorikan sebagai buli?
Perbuatan membuli juga dikaitkan dengan niat untuk menyakiti hati dan memberi tekanan kepada seseorang secara mental atau fizikal.
Ia juga dilakukan secara berulang-ulang, boleh terjadi secara bersemuka atau secara dalam talian yang dipanggil sebagai buli siber.
Bagaimanapun, dalam era teknologi dan pengunaan istilah hanya di hujung jari, sudah pasti ia memberi impak positif serta negatif kepada pengguna.
Ditambah pula dengan pendedahan kepada media sosial, ia juga mengundang kepada risiko buli siber.
Namun, apa pula yang dimaksudkan dengan buli siber ini?
Adakah ia mampu mendatangkan kecederaan atau mengganggu mental?
Bagaimanakah buli siber ini berlaku?
Menurut laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN), buli siber ini adalah perbuatan berulang dengan tujuan untuk menakutkan, mendatangkan kemarahan dan memalukan seseorang menggunakan kemudahan komunikasi manggunakan teknologi seperti teks, chatting, e-mel, laman web sosial, telefon bimbit dan permainan Internet.
Gejala buli siber ini mempunyai kesan segera dan meluas memandangkan serangan pembuli boleh berlaku selama 24 jam sehari dengan kapasiti yang luas.
Hal ini berbeza dengan buli secara tradisional yang dilakukan secara bersemuka.
Buli siber juga menyebabkan kebimbangan yang unik kerana ia berterusan, kekal dan sukar untuk dikenal pasti.
Kesan buli siber kepada mangsa dapat dibahagikan kepada emosi, fizikal dan mental.
Antara kesannya termasuk depresi, kemurungan, perbuatan melukakan dan mencederakan diri sendiri sehingga akhirnya jika tidak dibendung, akan mengakibatkan bunuh diri.
Manakala kesan fizikal kepada mangsa pula termasuk masalah gastrousus seperti sakit perut, muntah dan ulser perut; gangguan pada pola makan dan tidur.
Hal ini menyebabkan mangsa akan sentiasa berasa penat dan kelelahan.
Mametik laporan berita nasional, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan bahawa Malaysia di tempat kedua di Rantau Asia pada 2020 melibatkan kes buli siber khususnya dalam kalangan remaja.
Laporan Ipsos Public Affairs pada 2018 pula menunjukkan trend buli siber semakin meningkat di Malaysia dan insiden ini paling kerap berlaku di media sosial. Di Malaysia, tidak ada undang-undang khusus berkaitan buli siber.
Yang ada, beberapa peruntukan undangundang yang boleh digunakan bagi kesalahan buli dan buli siber.
Di negara ini juga, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merangkumi peruntukan berkaitan buli siber yang melarang penggunaan rangkaian komunikasi untuk melakukan sebarang kesalahan, termasuk gangguan, ugutan dan fitnah.
Penalti kerana melanggar akta itu boleh termasuk denda dan penjara.
Oleh yang demikian, bagi memerangi buli siber dan mempromosikan keselamatan dalam talian, antara inisiatif di Malaysia adalah kempen #StopCyberbullying yang dilancarkan pada 2016 dan program CyberSAFE pada 2019.
Mengapa masyarakat kita perlu cakna terhadap buli siber ini?
Mengapa pula kita perlu memberi perhatian atau fokus kepada isu sebegini?
Kita tidak terkejut melihat golongan muda kini semalin rancak menggunakan media sosial sebagai platform untuk bersuara tetapi yang menyedihkan apabila segelintir daripada mereka ini membuli dengan hamburan kata-kata lucah, penghinaan, body shaming, gangguan privasi Tanpa sedar mereka ini sudah tergolong dalam kalangan mereka yang membuli.
Mungkin ada segelintir yang beranggapan ia gurauan kawan-kawan tetapi tidak fikirkah kesan kepada orang yang dilontarkan kata-kata itu atau mangsa yang dibuli?
Kesan mungkin tidak nampak dengan mata kasar tetapi, sedarlah bahawa perbuatan sedemikian mampu mengubah pandangan mangsa kepada dunia bahkan mungkin tidak mahu lagi bergaul atau lebih parah malu yang melampau sehingga bertindak di luar kawalan.
Sudah tiba masanya buli siber mendapat pembelaan sewajarnya, dengan akta khusus kepada kesalahan ini.
Kerana kita tidak boleh membiarkan isu sedemikian berlarutan tanpa pembelaan.
Dalam hal berkaitan, MKN juga menyarankan, antara langkah menangani buli siber adalah dengan berkongsi masalah kepada orang yang lebih dewasa seperti ibu bapa, berehat daripada media sosial bagi memberi ruang pemulihan kepada mangsa dan mangsa tidak digalakkan untuk bertidak balas secara langsung dengan pembuli kerana dikhuatiri pembuli akan bertindak lebih agresif.
Harus diingat bahawa buli siber merupakan satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang.
Jadi, jangan amal perbuatan lebih cepat daripada fikiran.
Jangan jadi orang yang bertindak baharu menyesal dengan perbuatan, ketika itu nasi sudah menjadi bubur.
Buat sesuatu dengan akal, bukan ikut perasaan.
Tepuk dada, tanya selera.



