KUCHING: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung saman fitnah yang difailkan oleh Kerajaan Sarawak terhadap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen, selain meningkatkan jumlah keseluruhan ganti rugi dan kos yang perlu dibayar kepada RM500,000.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Mohamed Zaini Mazlan bersama-sama Datuk Ismail Ibrahim dan Datuk Muniandy Kannyappan.
Mahkamah meningkatkan jumlah ganti rugi daripada RM150,000 kepada RM300,000 serta memerintahkan Chong membayar kos rayuan sebanyak RM150,000 bagi prosiding di Mahkamah Rayuan, sebagai tambahan kepada kos guaman RM50,000 yang dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Secara keseluruhan, Chong diperintahkan membayar RM500,000 kepada Kerajaan Sarawak berhubung kes yang dikenali sebagai saman fitnah “Black Hole”.
Kes itu berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Chong pada 2013 apabila beliau mendakwa RM11 bilion daripada perbendaharaan negeri telah “hilang” ke dalam “lubang hitam” (black hole), sekali gus membayangkan wujudnya ketidaktelusan dalam pengurusan kewangan Kerajaan Sarawak dan Lembaga Kewangan Sarawak.
Berikutan kenyataan tersebut, Kerajaan Sarawak dan Lembaga Kewangan Sarawak memfailkan saman fitnah terhadap beliau.
Perbicaraan kes berkenaan bermula pada 7 Januari 2021 sebelum berakhir pada 5 Julai tahun yang sama.
Pada 30 Ogos 2022, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Alexander Siew How Wai yang kini Hakim Mahkamah Tinggi, memutuskan memihak kepada Kerajaan Sarawak dan Lembaga Kewangan Sarawak dengan menganugerahkan ganti rugi RM150,000 serta kos guaman RM50,000.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang Chong sama ada secara peribadi atau melalui pekerja, ejen atau mana-mana pihak lain daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kenyataan yang sama atau mempunyai maksud serupa pada masa hadapan.
Mahkamah di Malaysia sebelum ini memutuskan bahawa badan kerajaan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk memulakan prosiding saman fitnah dan keputusan Mahkamah Rayuan ini dilihat mengukuhkan lagi prinsip perundangan tersebut.
Bagaimanapun, Chong berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tertakluk kepada nasihat peguamnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguamnya atas usaha yang dicurahkan sepanjang prosiding kes berkenaan.
Kerajaan Sarawak dan Lembaga Kewangan Sarawak diwakili oleh Peguam Besar Negeri, Mohammad Adzrul Adzlan bersama-sama Felicity Thomas.
Chong pula diwakili barisan peguam Michael Kong, Chong Siew Chiang, Chong Hong Hien, Sharon Lo dan Brenda Chong.


