SAMARAHAN: Sebuah padang bola sepak baharu berkemungkinan dibina menggunakan rumput tiruan (sintetik) di Kota Samarahan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kemudahan sukan berkualiti.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, cadangan itu bertujuan menyediakan kemudahan lebih baik kepada komuniti bola sepak di Bahagian Samarahan susulan peningkatan jumlah kejohanan dan penyertaan pasukan.
Menurut beliau, Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) telah lama berhasrat memiliki padang sendiri kerana daerah itu masih bergantung kepada kemudahan milik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa institusi lain.
“PBBS kini sedang mengenal pasti tapak yang sesuai untuk dicadangkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi merealisasikan hasrat ini.
“Kami juga menerima banyak cadangan daripada komuniti bola sepak yang mahukan sebuah padang sintetik. Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, hasrat ini dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir Piala Presiden PBBS di Stadium Terbuka Kota Samarahan, semalam.
Rubiah yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembinaan padang itu dijangka mampu memperkukuh pembangunan bola sepak di Samarahan serta menyediakan venue yang lebih selesa dan kekal untuk penganjuran latihan serta pertandingan.





