KOTA SAMARAHAN: Skuad Samarahan siap sedia untuk menghadapi Limbang dalam aksi suku akhir pertama Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) di Kompleks Sukan Limbang Sabtu ini (10 Oktober).
Skuad itu turun dengan misi serampang dua mata, iaitu meraih kemenangan selain mencari lebihan jaringan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di laman sendiri pada 17 Oktober nanti.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari menegaskan barisan pemainnya siap sedia mengharungi cabaran jagoan terbilang dari utara itu.
“Kita turun dengan dua misi, mahu meraih kemenangan dan cuba untuk menjaringkan lebihan gol sebagai bekalan menghadapi aksi timbal balik di gelanggang sendiri kelak,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Azri, beliau tidak melihat laluan mudah bagi pemainnya untuk merealisasikan misi tersebut.
Ini kerana katanya, kelebihan berada pada pihak Limbang yang akan mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.
“Kami tetap berwaspada dengan keupayaan Limbang yang berkelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri,” tambah Azri.
Dalam pada itu, sedikit kredit dimiliki Samarahan untuk perlawanan Sabtu nanti dengan kemunculan dua pemain baharu iaitu Rafiezan Razali dan Zul Mohi.
“Kedua-dua pemain ini baharu sahaja kita daftarkan dan diturunkan Sabtu ini.
“Kehadiran kedua-dua mereka akan menambah tonik di posisi berbeza dalam skuad Samarahan,” kata Azri.
Empat perlawanan suku akhir pertama berlangsung Sabtu ini bagi memburu kejuaraan Piala Premier Sarawak.
Tiga lagi perlawanan ialah Miri menentang Kuching di Stadium Miri, ATM menentang juara musim lepas, Bintulu di Padang Perumahan, Jalan Astana, dan Serian menentang Sibu di Kompleks Sukan Balai Ringin.



