BULAN Ogos ini, dua ahli keluarga saya menyambut hari lahir mereka. Pertama ibu saya Juliana Laong dan kedua adik saudara, Angelyn Baun Alex atau manja dipanggil Popi.
Tarikh hari lahir keduaduanya tidak jauh tetapi yang membezakan mereka adalah tahun kelahiran. Ibu lahir pada 27 Ogos 1959 manakala Popi pula pada 25 Ogos 1997.
Dulu ketika di bangku sekolah, jika ada peluang, saya selalu menyambut hari lahir kedua-duanya bersama-sama.
Popi sangat rapat dengan keluarga saya kerana dia telah dijaga oleh ibu sejak bayi. Justeru dia sangat dengan ibu sehingga memanggil ibu ‘enai’ yang merujuk kepada ibu.
Bagaimanapun hari ini, saya jarang menyambut hari lahir mereka ini bersama-sama ekoran tinggal jauh daripada mereka.
Namun pada 16 Ogos lalu semasa pulang bercuti,saya mengambil peluang menyambut hari lahir keduaduanya bersama-sama.
Ya, saya memutuskan untuk meraikan hari lahir ibu dan Popi beberapa hari lebih awal daripada tarikh sepatutnya kerana tempoh percutian saya singkat.
Dalam hal ini, saya mahu mencipta satu lagi kenangan indah bersama-sama keluarga. Majlis keluarga ini turut diserikan dengan kehadiran keluarga ibu saudara saya dari Miri.
Mengenangkan kembali momen indah itu, semalam saya membuat panggilan video dengan ibu yang kini berada di Miri dan bertanya mengenai sambutan hari lahirnya di kampung sebelum ini.
Sambil ketawa, ibu berkata, dia tidak pernah meraikan hari lahirnya sehinggalah dia dan bapa membawa kami anakanaknya ke pekan Marudi. Pendedahan ibu pada hari itu sangat mengejutkan.
“Amik ke la’ie aring de avek un t birthday kue dau ni. Murip pe ma’an ngen matai Pui pe avek tisen pasen barang ni.
Jade, ira avek t birthday birthday ni,” (Kami di kampung dulu tidak menyambut hari lahir seperti ini. Hidup di kampung sangat susah tambahan pula, mendiang Pui (nenek) tidak tahu mengenai sambutan hari lahir. Jadi, mereka tidak sambut).
“Jade, inu la ikem tie?” (Jadi, apalah yang kamu buat). “Se le’wei tuak amik ti birthday birthday ni. Selamat anak teguk ie lahir. Hanya sekali sahaja kami menyambut hari lahir ini. Majlis ‘selamat’ anak semasa lahir).
“Dalem selamat anak ni, kelunan jau met mung lebuk pemung ngen pisu nek nga ran anak.
Ngaren Kenyah aki ira nek teguk t. (Dalam majlis itu, orang tua akan berkumpul dan berbincang nama untuk anak yang baru lahir itu. Nama Kenyah saya diberi pada hari tersebut).
“Dau ti, mung dulu ke uma laruk pesak, tai nyimek nge jalak… kira gotong-royong,” (Pada hari itu juga, semua penduduk rumah panjang akan masak bersama, memburu dan menjala… seperti bergotongroyong).
Ibu menambah, tidak semua ibu bapa di kampung ketika itu mempunyai kemampuan untuk mengadakan majlis sedemikian untuk bayi mereka. Acara tersebut juga bukan satu kewajipan.
“Met ikem padek, seken eyok Ewart tuak amik lue amai o t selamat ni aring de. Kelunan jau met telu lebuk uma laruk nai ke Long Apu nek ngaran Kenyah Ewart,” (Daripada kamu adik-beradik, hanya abang kamu Ewart saja kami dua bapa kamu buat majlis selamat ini dulu.
Orang tua-tua dari tiga rumah kampung datang ke Long Apu memberi nama Kenyah kepada Ewart). Ibu menjelaskan,orang tua itu datang dari tiga rumah panjang iaitu Long Selatong, Long Anap dan Long Apu.
Mereka berbincang nama Kenyah yang sesuai untuk diberi kepada abang dan pada sama majlis keramaian (selamat) berlangsung.
Bagi komuniti Orang Ulu kaum Kenyah, nama Kenyah mereka adalah di perkataan kedua pada nama mereka. Dalam hal ini, nama Kenyah abang adalah Ngau.
Pada era moden ini, majlis ‘selamat’ untuk bayi lahir tidak lagi dilakukan oleh penduduk kampung kerana memberi nama anak boleh diberi sendiri oleh ibu bapa bayi tersebut.
Menyingkap kembali nostagial lama ini lagi, ibu berkata, mengadakan majlis hari lahir tidak pernah terlintas dalam fi kiran penduduk kampung dulu.
Rata-rata penduduk kampung hidup sebagai petani tradisional dan kehidupan susah yang dihadapi menyebabkan fokus para ibu bapa adalah untuk memastikan makan minum anak-anak sentiasa ada di atas meja.
Selepas mendengar cerita ibu, tidak hairanlah jika ibu dan bapa berusaha menyambut hari lahir setiap kami adikberadik semasa kecil sebelum ini dengan cara mereka.
Hari ini, giliran kami pula menyambut hari lahir ibu atau bapa.
Sejajar itu, hari lahir atau lebih dikenali sebagai hari jadi ialah hari seseorang dilahirkan ke dunia.
Ia merupakan satu peristiwa istimewa yang diraikan dengan pelbagai cara seperti menghantar ucapan, melakukan sambutan, atau mendoakan agar individu tersebut beroleh keberkatan hidup.
Ia juga menjadi peluang untuk menunjukkan penghargaan dan kasih sayang kepada insan tersayang.
Setiap tahun kita menyambut hari lahir sama ada untuk diri sendiri atau individu lain yang kita rapat. Maka, menunjukkan rasa cinta dan penghargaan kepada kita selain meraikan kehidupan yang menandakan satu tahun lagi kehidupan seseorang dan peluang untuk memulakan lembaran baru.
Kesimpulannya, sambutlah hari lahir setiap insan yang tersayang anda selagi mereka masih berada di sini anda. Ini kerana hari lahir menjadi peluang untuk kita agar bersyukur atas nikmat hidup dan kesihatan.
Tambah pula, sama ada hari lahir ahli keluarga mahupun rakan taulan, menyambut hari lahir secara langsung memberi ruang untuk kita memanfaatkan waktu dengan lebih baik.
Ya, ia memberi kesedaran bahawa hidup semakin singkat, memberi peluang untuk memanfaatkan masa dengan lebih baik dan tidak menoleh ke belakang.



