BAU: Sambutan Cap Goh Mei di Pekan Bau tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri dengan penyertaan 106 kontinjen perarakan, menjadi antara yang terbesar diraikan sempena ulang tahun ke-206 pekan ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Laut dan Sungai) Datuk Henry Harry Jinep berkata, sambutan ini disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang memperuntukkan dana sebanyak RM100,000.
Katanya, kontinjen perarakan ini terdiri daripada kumpulan tarian singa dan naga dari Bau dan Kuching dan berarak sejauh tiga kilometer.
“Ini merupakan acara tahunan di Bau dan antara acara terbesar yang dianjurkan setiap tahun.
“Perarakan bermula dari Kuil Bong Loh Sian. Kemudian ia membuat pusingan besar ke arah Dewan Suarah, seterusnya melalui Jalan Temenggong Salau, Pasar Bau dan kembali ke Kuil Bong Loh Sian,” katanya kepada media ketika menghadiri perarakan Chap Goh Mei Pekan Bau, di sini hari ini.
Henry yang juga Adun Tasik Biru berkata kehadiran orang ramai daripada pelbagai latar belakang memeriahkan lagi suasana.
“Suasana seperti ini berlaku sejak hampir 200 tahun lalu. Bau pula melakukannya selama 206 tahun.
“Apabila tiba sambutan Cap Goh Mei, dengan cuaca baik seperti hari ini, semua orang akan datang. Tanpa mengira latar belakang, semua datang bersama-sama. Semua komuniti berkumpul seperti ini untuk menikmati suasana dan menyaksikan perarakan yang berlangsung,” ujarnya.

























