ARTIKEL

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026 Di Ipoh Penuh Dengan Pelbagai Pengisian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Bandar raya Ipoh di Perak akan menjadi tumpuan warga pendidik selepas dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad semasa menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Selasa lepas memaklumkan sambutan tahun ini bertemakan “Guru Bitara Nadi Negara” yang menekankan peranan guru sebagai model atau “bitara” utama dalam membentuk modal insan bermutu yang bakal menjadi tulang belakang ekonomi serta kestabilan sosial negara.

Peranan itu selari dengan usaha kementerian meletakkan guru sebagai pemacu strategik dalam melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing, berkemahiran dan mampu mendepani cabaran global menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Ia juga selaras dengan Teras Strategik ke-3 RPM yang memberi fokus kepada usaha mentransformasikan pendidik agar lebih berkeupayaan tinggi dan berorientasikan masa hadapan.

Tema itu juga mencerminkan penghargaan profesion keguruan yang menjadi penggerak utama kemajuan dan kesejahteraan negara.

Konsep “Guru Bitara” merujuk kepada pendidik yang mencapai tahap profesionalisme tertinggi, berintegriti dan menjadi teladan unggul manakala frasa “Nadi Negara” menggambarkan guru sebagai sumber kehidupan dan penggerak utama kelangsungan sesebuah negara.

Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat pada majlis itu yang akan disiarkan secara langsung menerusi DidikTV, EduwebTV dan semua platform media sosial rasmi kementerian bagi membolehkan warga pendidik di seluruh negara mengikuti sambutan berkenaan. #terimakasihcikgu – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU