KUCHING: Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini tetap diteruskan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, namun keseluruhan acara akan diadakan di dalam bangunan berikutan keadaan jerebu.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata Jemaah Menteri mengambil maklum keadaan jerebu terutama di Kuching dan Serian yang menyebabkan acara di luar bangunan tidak dapat diteruskan.
“Jemaah Menteri membincangkan dan mengambil maklum bahawa Sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang dijangka diadakan pada sebelah malam akan diteruskan di BCCK.
“Jemaah Menteri turut mengambil maklum bahawa keadaan jerebu yang agak membimbangkan di Kuching dan Serian di Sarawak mengakibatkan acara di luar bangunan tidak dapat diteruskan,” katanya selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Sebelum ini Fahmi memaklumkan keputusan untuk menetapkan BCCK sebagai lokasi Sambutan Hari Malaysia tahun ini dipersetujui dalam mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Fahmi berkata pemilihan BCCK dibuat selepas pihak jawatankuasa meneliti kesesuaian lokasi berkenaan, khususnya dari segi ruang bagi menampung penganjuran sambutan berskala besar.





