KUCHING: Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 bakal mengetengahkan tema Kepelbagaian, Kesamaan, Ekuiti dan Inklusiviti, mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan masyarakat yang seimbang dan progresif.
Acara utama sambutan akan diadakan pada 2 Ogos 2025 di Dewan Santapan, Aras 1, Dewan Undangan Negeri Sarawak, bermula jam 8.30 pagi.
Majlis turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bagi membolehkan lebih ramai rakyat menyertai secara maya.
Dalam pada itu,Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir untuk menyempurnakan majlis tersebut bersama barisan dif kenamaan lain yang turut memberikan sokongan kepada agenda pemerkasaan wanita.
Pada masa yang sama, Majlis Pelancaran Buku ‘ ‘Sarawak Women Creating Legacies’akan diadakan lebih awal iaitu pada 31 Julai 2025 sebagai penghargaan terhadap sumbangan wanita negeri ini dalam pelbagai bidang.



