SIBU: Program ‘Mari Mencuba Sukan Muaythai’ sempena berlangsungnya Cabaran Muaythai Amatur Sibu 2026 baru-baru ini dilihat memberi impak yang cukup signifikan.
Sambutan amat memberangsangkan dengan merekodkan seramai 66 peserta terlibat.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim menzahir rasa teruja dengan sambutan diterima pada program berkenaan.

“Ia memperlihatkan usaha kita (PMNS) untuk terus memperkasakan pembangunan sukan Muay Thai di Sibu khususnya dan Sarawak amnya,” ujar Jumaat kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya dengan adanya program seperti ini dapat memberi pendedahan awal kepada peserta terutama dalam kalangan kanak-kanak mahupun remaja dengan sukan berkenaan.
“Kita percaya ada dalam kalangan peserta dari program ini yang berjaya mencipta nama di pentas lebih tinggi dalam sukan Muay Thai suatu hari kelak,” tambah beliau.
Program berkenaan dikendalikan oleh bintang sensasi Muay Thai Sarawak, Aiman Koboi.



