KUCHING: Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M bakal menjadi wadah mempererat perpaduan umat Islam di Sarawak, kata Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, program berkenaan juga mampu menyemarakkan lagi nilai murni dan kefahaman ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas komitmen dan usaha berterusan dalam menganjurkan sambutan yang signifikan ini.
“Khususnya bagi bersama-sama memperingati turunnya wahyu pertama yang menjadi titik penting dalam membentuk tamadun umat yang berteraskan ilmu, akhlak dan nilai murni.
“Besar harapan agar majlis ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, sekali gus menjadi platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim sesama umat Islam,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Tun Wan Junaidi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jawatankuasa Penganjur Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447H/2026M di kediaman rasminya, semalam.
Delegasi diketuai oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Kunjungan hormat ini bertujuan menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Wan Junaidi serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi untuk berkenan menghadiri program berkenaan.
Majlis Nuzul Al-Quran tersebut dijadualkan berlangsung pada Jumaat (6 Mac 2026), bersamaan 16 Ramadan 1447H, bertempat di Masjid Bandar Sri Aman.





