KUCHING: Program sambutan Tahun Baru Cina (TBC) Peringkat Negeri yang julung kali diadakan tahun ini disarankan menjadi salah satu acara tahunan dalam kalendar Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau menyokong cadangan terbabit dengan mengambil kira sambutan yang sangat memberangsangkan daripada orang ramai.
“Saya menyokong sambutan TBC peringkat negeri ke arah tersebut kerana saya dapat melihat kebaikannya.
“Sebelum ia hanya diadakan di peringkat parti serta persatuan, tetapi ini pertama kali diadakan di peringkat kerajaan negeri dan tidak salah untuk dianjurkan setiap tahun seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan TBC Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Beliau sambil itu percaya program tersebut dijangka akan dimasukkan sebagai acara dalam kalendar tahunan Sarawak sekiranya diangkat bagi tujuan itu.
Mengenai sambutannya, Karim berkata program itu berjaya meningkatkan perpaduan antara kaum dengan menghimpunkan masyarakat berbeza latar belakang.
“Walaupun cuaca tidak begitu baik tetapi ramai yang hadir bersama-sama memeriahkan sambutan hari ini.
“Inilah keunikan kita dapat lihat, kedatangan pengunjung bukan saja daripada masyarakat Cina, malah lain-lain bangsa juga ada di sini,” ujarnya.
Sambutan bermula jam 9 pagi hingga petang terbabit dimeriahkan dengan kehadiran lebih 5,000 masyarakat berbilang kaum.
Antara tetamu khas yang hadir, Yang Di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


