Larian dan berjalan santai kini semakin menjadi trend yang wajar diikuti masyarakat kerana kedua-dua aktiviti ini bukan sahaja mudah dilakukan, malah menjadi simbol gaya hidup sihat yang semakin mendapat tempat dalam kalangan semua peringkat umur.
Tanpa memerlukan kos tinggi atau peralatan rumit, aktiviti berjalan dan berlari mampu memberikan manfaat besar kepada kesihatan fizikal serta mental jika diamalkan secara konsisten.
Trend ini jelas dapat dilihat menerusi sambutan menggalakkan terhadap penganjuran Fit and Fun Run Saberkas di Mukah baru-baru ini yang berjaya menarik penyertaan ramai peserta.
Lebih menarik, golongan belia dilihat mendominasi penyertaan program tersebut.
Kehadiran mereka bukan sahaja menceriakan suasana, malah membuktikan generasi muda kini semakin sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat.
Ada yang hadir bersama-sama rakan-rakan, dan tidak kurang juga yang datang bersama-sama ahli keluarga untuk sama-sama merasai pengalaman menyertai program komuniti tersebut.
Program Fit and Fun Run Saberkas bukan sekadar acara larian biasa, sebaliknya menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat dalam suasana santai, sihat dan penuh semangat.
Dalam kesibukan rutin harian, usaha menganjurkan aktiviti seperti ini wajar dipuji kerana berjaya menarik masyarakat keluar daripada gaya hidup yang kurang aktif.
Ramai dalam kalangan peserta mengakui program sebegini memberi peluang kepada mereka untuk beriadah sambil meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Golongan belia khususnya kelihatan begitu bersemangat sejak awal pagi.
Suasana bertambah meriah dengan sesi pemanasan badan dan senamrobik berkumpulan yang mendapat penyertaan aktif daripada peserta.
Aktiviti tersebut bukan sahaja membantu peserta membuat persediaan fizikal, malah menjadi pencetus suasana ceria sebelum larian dimulakan.
Menariknya, program ini berjaya menarik minat belia untuk menyertai aktiviti sihat secara santai tanpa tekanan persaingan yang berlebihan.
Hakikatnya, aktiviti berlari dan berjalan kini bukan lagi sekadar hobi, sebaliknya sudah berkembang menjadi budaya hidup moden yang lebih mementingkan kesihatan.
Amalan ini membantu meningkatkan stamina, mengawal berat badan serta mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Pada masa sama, aktiviti fizikal juga memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental kerana membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood seseorang.
Tidak hairanlah semakin banyak program larian santai dan larian ria mendapat sambutan memberangsangkan di seluruh negara.
Masyarakat kini semakin memahami bahawa menjaga kesihatan perlu bermula dengan langkah mudah yang boleh diamalkan setiap hari.
Mukah sememangnya semakin aktif menganjurkan pelbagai program berbentuk rekreasi dan sukan sejak kebelakangan ini.
Saya percaya program yang dianjurkan itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat.
Hal ini demikian kerana ramai yang mula melihat program seperti itu sebagai satu cara untuk mengamalkan gaya hidup sihat selepas melalui hari yang panjang di tempat kerja.
Oleh itu, penganjuran program seperti ini membuktikan bahawa budaya hidup sihat semakin diterima dan diamalkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.



