D. AMINAH bukanlah nama asing dalam dunia penulisan dan kegiatan kemasyarakatan di Sarawak. Beliau pernah aktif dalam politik sebagai Ketua Wanita PBB Masjid Kampung Bintangor Kecil, N.6 Satok, sejak 1979 hingga Jun 2013. Berkelulusan Common Entrance Primary 6 dari Sekolah Abang Ali, Sibu, Sarawak, beliau juga pernah mendapat pendidikan di sekolah agama. Menariknya, antara guru yang pernah mendidiknya termasuklah Allahyarhamah Cikgu Ajibah Abol, tokoh pelopor politik wanita Sarawak yang mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan menteri dalam Kabinet Sarawak serta wakil rakyat wanita pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Gemar membaca apa-apa sahaja bahan bacaan sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan D. Aminah. Daripada minat membaca itulah tumbuh kecintaannya terhadap dunia penulisan. Beliau mula mengorak langkah dengan menghasilkan rencana, esei dan skrip drama.
Skrip drama pertamanya yang berjudul Padong pernah dihantar untuk dinilai, namun tidak mendapat maklum balas yang positif. Walau bagaimanapun, penolakan tersebut tidak sedikit pun mematahkan semangatnya. D. Aminah terus menulis dan menghasilkan pelbagai bahan untuk dihantar ke akhbar tempatan, selain majalah Wanita dan akhbar Berita Harian di peringkat nasional.
Di samping bergiat dalam bidang penulisan dan politik, D. Aminah juga merupakan antara usahawan wanita yang berjaya di Sarawak ketika itu menerusi pelibatannya dalam Persatuan Usahawan Sarawak yang dipengerusikan oleh Datuk Rohani Abdul Karim.
Masa lapangnya pula tidak pernah dibiarkan berlalu begitu sahaja. Beliau gemar mengikuti pelbagai kursus anjuran jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan di seluruh Sarawak. Begitulah semangat seorang wanita yang sentiasa ingin menambah ilmu dan pengalaman dalam kehidupannya.
Pemilik nama sebenar Hajah Dayang Siti Aminah Haji Abang Bohan ini dilahirkan pada 29 November 1945. Bapanya merupakan seorang pegawai kastam yang sering berpindah tempat bertugas antara Kuching dengan Sibu, manakala ibunya seorang suri rumah. Sebagai anak sulung daripada lapan orang adik-beradik, D. Aminah mempunyai minat yang begitu mendalam terhadap dunia penulisan, khususnya penulisan rencana dan drama. Tidak hairanlah apabila hasil penulisannya kerap mendapat tempat dalam akhbar tempatan mahupun akhbar nasional.
Sesungguhnya, D. Aminah wajar diberikan perhatian yang sewajarnya sebagai antara penggerak dunia penulisan di Sarawak. Namun begitu, di sebalik perjalanan panjangnya sebagai penulis, tersimpan juga kisah yang sedikit menyentuh perasaan. Koleksi keratan akhbar dan tulisan yang pernah dihasilkannya telah dibuang kerana pada suatu ketika, beliau menganggap bahan tersebut sekadar kenangan yang menyakiti hati. Ada sedikit kekecewaan yang terpancar apabila beliau mengenangkan kembali perkara itu. Kini, kegiatan penulisannya tidak lagi serancak dahulu, lebih-lebih lagi ketika usianya bakal menjangkau 81 tahun pada November 2026.
Bakat D. Aminah bukan sekadar terbatas pada penulisan rencana dan skrip drama. Beliau juga pernah mencipta sebuah lagu berjudul Tudung Keringkam yang begitu dekat dengan warisan masyarakat Melayu Kampung Bintangor Kecil. Lagu tersebut mengangkat keindahan tudung keringkam, salah satu hasil warisan yang sinonim dengan penduduk kampung berkenaan. Lirik ciptaannya cukup puitis, sarat dengan kelembutan bahasa dan sentuhan melankolik kemelayuan:
Cantiknya tudungmu, sayang
Kacak selendangmu, intan
memakai selayah
tudung Keringkam.
Selayah keringkam, manja
Warisan Melayu, kasih
masih dikekalkan
sepanjang masa.
Tudung keringkam disulami
dengan benang emas
Cantik sekali dengan hiasan
berwarna-warni.
Ikuti wawancara saya bersama-sama D. Aminah atau Dayang Aminah, penulis skrip drama sitkom siri televisyen yang pernah popular suatu ketika dahulu, iaitu Santan Berladа terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar 1989. Pastinya, sitkom komedi ini mengimbau kenangan penonton terhadap watak-wataknya yang tersendiri, antaranya Ali Mamak, Khairul Azhar Abdul Samad, Accapan, Pak Yop Kidal sebagai pemilik kedai, Mak Mah yang dilakonkan oleh Ruminah Sidek, Gani Martopo (Radin), Mr. Os dan beberapa orang pelakon lain. Di sebalik gelak tawa yang menghiburkan penonton, tersimpan kisah kreativiti dan pengalaman seorang penulis yang turut menyumbang kepada penghasilan skrip sitkom tersebut. Kalimat yang sering terucap daripada bibirnya sepanjang sesi wawancara ini cukup menggambarkan betapa mendalamnya kecintaan beliau terhadap dunia penulisan.
“Saya tak sempat belajar tinggi, namun semangat untuk membaca dan menulis susah untuk dipisahkan dalam diri saya,” ujarnya sambil tersenyum lebar.
DAHIRI SAINI: Bonda Hajah, sebagai permulaan, boleh Hajah ceritakan sedikit tentang diri Hajah dan bagaimana Hajah mula mengenal dunia penulisan, khususnya penulisan rencana dan skrip drama untuk siri TV yang popular suatu masa dulu, Santan Berladа?
DAYANG AMINAH: Saya gemar membaca apa-apa sahaja bahan yang ada. Malah, bahan bacaan saya tidak terhad. Contohnya, politik, hiburan, budaya dan sebagainya. Inspirasi awal saya untuk menceburi dunia penulisan ialah minat yang sangat mendalam. Saya sangat teruja apabila melihat tulisan saya diterbitkan. (ketawa kecil)
Ramai orang mungkin mempunyai idea untuk menghasilkan cerita, tetapi tidak semua mampu mengubah idea tersebut menjadi sebuah skrip drama. Apakah yang mendorong Hajah untuk memilih penulisan skrip drama pentas dan rencana?
Menulis skrip drama dan rencana memang sangat berbeza, tetapi keseronokan menulis itu membuatkan apa-apa sahaja yang saya tulis menjadi mudah. Saya menulis untuk mencari kepuasan. Malah, pengalaman hidup dalam masyarakat Melayu di Sarawak dan komuniti setempat banyak memberi sumber inspirasi kepada saya untuk menulis.
Apabila Hajah mendapat satu idea baharu untuk drama, bagaimanakah proses itu bermula? Adakah Hajah bermula dengan watak dan perwatakan, konflik, tema ataupun jalan cerita? Bolehkah Hajah menjelaskan proses seterusnya secara ringkas? Mungkin pendedahan ini dapat membantu Hajah berkongsi pengalaman dengan sesiapa sahaja yang berminat dalam bidang penulisan. Lagipun, sesuatu yang positif pasti memberi kesan yang berguna kepada generasi masa kini.
Contoh dua siri dalam sitkom Santan Berladа terbitan RTM Kuala Lumpur yang berjudul KACA. Akronim KACA pun bersifat pepejal, tetapi mudah pecah dan kacanya boleh melukakan tangan. Meskipun dalam bentuk sitkom komedi, saya percaya ada yang terkesan dengan sindiran yang saya masukkan, agaknya. Atau memang itu rezeki saya. Perkenalan saya dengan Pengarah, Nurhalim Ismail banyak memberi galakan dan semangat kepada saya untuk terus menulis.
Saya pernah juga menghantar sebuah skrip drama untuk M. Osman (berbisik sambil merenung anaknya Ustaz Yusree di sebelahnya). Meskipun skrip tersebut tidak mendapat perhatian, saya berasa puas hati apabila M. Osman sempat menitipkan pesan supaya saya tidak mudah mengalah. Katanya lagi, “Tiada kejayaan mudah untuk dicapai”. Bermula daripada situ, saya semakin teruja untuk menulis.
Dalam skrip, watak merupakan elemen yang sangat penting kerana penonton ingin mengenali cerita melalui tindakan dan dialog watak. dalam skrip sitkom Santan Berladа, bagaimanakah Hajah membina watak supaya watak tersebut terasa hidup dan dekat dengan penonton?”
Saya membina karakter dalam siri sitkom Santan Berladа berdasarkan pengalaman dalam komuniti setempat dan pelibatan saya dalam persatuan politik. Bermula daripada situlah lahir watak dan karakter Orang Serawak dalam siri tersebut. Menurut tidak dapat dinafikan bahawa ada persamaan antara watak yang saya ciptakan dengan orang sekeliling atau tokoh yang saya kenal dan jumpa.
Antara perkara yang menarik dalam drama ialah dialog. Pada pandangan Hajah, apakah yang menjadikan sesuatu dialog itu kuat, natural dan berkesan?
Dalam sitkom bersiri tersebut, saya menggunakan dialog mudah tetapi berkias. Saya juga menyelit bahasa Sarawak untuk mempelbagaikan situasi watak dan perwatakan. Saya berbuat demikian untuk memastikan dialog tidak kedengaran terlalu dibuat-buat, meskipun siri sitkom tersebut berbetuk komedi.
Apakah cabaran paling besar yang pernah Hajah hadapi ketika menghasilkan skrip drama atau rencana?
Kekangan idea dan masa. Saya hampir setiap hari dipenuhi dengan pelbagai acara persatuan, di samping sebagai Ketua Wanita PBB, masa saya hampir digunakan untuk bertemu dengan ahli dan merancang hala tuju persatuan. Ruang dan masa menulis, bagi saya, ialah masa yang sangat menggembirakan saya.”
Bagaimanakah Hajah menerima kritikan, teguran atau saranan daripada penerbit dan pengarah terhadap skrip yang dihasilkan, khususnya jika melibatkan perubahan pada dialog, adegan atau jalan cerita? Adakah Hajah bersedia mengolah semula skrip tersebut demi kebaikan karya?
Saya menerima teguran dan mengolah semula skrip saya. Malah, kata-kata perangsang yang masih saya ingat sehingga kini ialah kata-kata daripada Nurhalim Ismail, seorang penerbit, pengarah dan penulis drama. Kata-kata beliau tetap menjadi kunci kehidupan dalam penulisan saya. Bagi saya, mungkin mereka melihat ada kebaikan untuk semua.
Daripada pengalaman Hajah dalam penulisan, apakah karya atau skrip yang paling dekat di hati Hajah? Mengapakah karya tersebut begitu bermakna dan dekat dengan diri Hajah?
Tentunya skrip sitkom Santan Berladа. Meskipun saya menulis beberapa episod untuk sitkom tersebut bersama-sama dengan beberapa orang penulis lain. Namun begitu, skrip KACA untuk sitkom Santan Berladа itu menjadi permangkin semangat kepada saya untuk terus menulis tanpa menoleh ke belakang lagi.
Sepanjang pelibatan Hajah dalam dunia penulisan drama, apakah pengalaman yang paling Hajah tidak dapat lupakan?
Salah satu pengalaman yang saya takkan lupa sampai bila-bila adalah apabila skrip saya yang hantar ditolak. Namun begitu, perkara itu tidak akan menghalang saya daripada terus menulis. Mungkin skrip itu belum memenuhi kriteria penerbit, agaknya.
Jika Hajah diberikan peluang untuk kembali ke zaman ketika mula-mula menulis skrip, apakah satu perkara yang Hajah ingin beritahu kepada diri Hajah pada ketika itu?
Menulis semahu-mahunya tanpa henti. (ketawa geli hati). Memang amat sukar untuk menolak keinginan untuk berhenti menulis. Minat saya sudah pupuk sejak dulu lagi tidak akan dilenyapkan dalam sekelip mata.
Saya pun tak tahu mengapa saya begitu minat menulis dan membaca. Mungkin saya ini luar biasa agaknya? (berseloroh).
Bonda D. Aminah, terima kasih atas perkongsian yang begitu menarik. Melalui perbualan kita pada hari ini, kita dapat melihat bahawa sesebuah drama bukan sekadar apa yang kita lihat di kaca TV. Di sebalik setiap dialog, watak dan konflik, terdapat pemikiran, pengalaman, pemerhatian dan kreativiti seorang penulis. Semoga perkongsian Hajah pada hari ini dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai generasi muda untuk menghargai dunia penulisan serta berani menghasilkan karya yang membawa suara, budaya dan pengalaman masyarakat kita.
Apabila berbicara tentang minat generasi muda terhadap penulisan skrip drama, D. Aminah melihat perkembangan tersebut dari sudut yang tersendiri. Menurut beliau, minat generasi muda terhadap drama televisyen mempunyai pro dan kontranya.
Peredaran zaman yang menyaksikan kemunculan generasi Gen Z sedikit sebanyak menuntut masyarakat menerima perubahan minat dan kecenderungan mereka terhadap drama yang disiarkan di televisyen.
Dalam era digital yang semakin berkembang, masyarakat kini mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati kandungan hiburan, termasuk melalui TikTok, YouTbe, penstriman langsung dan pelbagai platform media sosial. Perubahan ini turut membawa cabaran baharu kepada dunia penulisan.
Bagi D. Aminah, ledakan kecerdasan buatan (AI) pada masa kini sememangnya menuntut daya tahan dalam kalangan penulis. Namun, pada usia yang semakin meningkat, beliau mengakui bahawa pergerakkannya kini lebih terbatas. Masa dan perhatiannya banyak tertumpu pada kehidupan bersama keluarga.
Di sebalik perubahan zaman dan perkembangan teknologi, D. Aminah tetap menitipkan pesanan yang cukup bermakna kepada generasi muda yang ingin menjadikan penulisan sebagai wadah untuk menyampaikan cerita serta suara masyarakat.
Beliau menekankan pentingnya keikhlasan dan kejujuran dalam berkarya, di samping mengingatkan para penulis agar tidak menjadikan perbezaan bangsa, suku kaum, adat resam dan pegangan agama sebagai penghalang dalam menyampaikan sesuatu melalui penulisan.
Bagi D. Aminah, penulisan bukan sekadar tentang menghasilkan cerita, tetapi juga tentang memahami manusia dan kehidupan yang melingkunginya.
Pesanan beliau diharapkan dapat menjadi panduan kepada penulis generasi akan datang agar terus berkarya dengan hati yang terbuka, menghormati kepelbagaian dan menghasilkan tulisan yang mampu menyentuh hati serta mendapat tempat dalam kalangan pembaca.
~ KENALI PENULIS ~
DAHIRI SAINI dilahirkan pada 20 September 1966 di Kampung Baru Hulu, Kota Samarahan, Sarawak. Beliau mula menulis pada 1990 dan pernah menjadi penulis kreatif dan non-kreatif beberapa akhbar tempatan.
Pada 1999, beliau mengikuti Program Penulisan Sastera Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Pada 2001, beliau mengikuti Program Penulisan Skrip Drama/Cereka TV di Angkasapuri Kuala Lumpur. Kemudian pada 2004, beliau terpilih untuk menyertai Program Penataran Penulis Muda Borneo-Kalimantan, Indonesia dan Program Pertukaran Penulis Sarawak/Sabah dan Semenanjung Malaysia pada 2005.
Dahiri menulis dalam pelbagai jenis genre seperti puisi, cerpen, novel, skrip drama/cereka TV, esei dan cerita rakyat. Karyanya banyak tersiar di Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Utusan Malaysia, Berita Harian dan majalah Wanita.
Beliau pernah memenangi pelbagai hadiah penulisan peringkat negeri dan kebangsaan. Sebagai penggiat seni budaya dan sastera, beliau sering terlibat dalam acara seperti baca puisi, pementasan teater, dekon beserta hal-hal yang berkaitan dengan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Sarawak. Beliau juga terlibat dengan penulisan skrip drama televisyen dan telemovie untuk RTM, TVS, TVS dan ASTRO.
Dahiri Saini juga pengasas Arts of SARANGpipit, iaitu sebuah produksi teater yang mengadakan persembahan di Sarawak. Sekarang, beliau merupakan penulis sepenuh masa.






