SANTUBONG terus melakar nama dalam arena sukan apabila Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong bakal memiliki gelanggang pickleball sendiri tidak lama lagi.
Langkah ini dijangka menjadikan kawasan tersebut sebagai hab baharu bagi perkembangan sukan yang kini semakin digilai ramai, sama ada dalam kalangan kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan bahawa peruntukan bagi pembinaan gelanggang tersebut sudah tersedia ketika merasmikan RB Junior Pickleball Camp 2025 baru-baru ini.
“Santubong sebagai hab sukan pickleball adalah sangat meyakinkan.
Kita sudah ada peruntukan untuk gelanggang ini, hanya tunggu masa untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Nancy, yang juga Ahli Parlimen Santubong, menegaskan bahawa pickleball bukan sekadar sukan santai, malah mampu berkembang sebagai produk pelancongan yang memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, daya tarikan unik sukan ini berpotensi menarik minat bukan sahaja penduduk tempatan, bahkan juga pelancong dari luar kawasan.
BAKAT MUDA MENYERLAH
Kem pickleball yang dianjurkan di Santubong barubaru ini menyaksikan pelibatan ramai pemain muda berbakat berusia antara tujuh hingga 14 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Buntal dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong.
Nancy melahirkan rasa gembira melihat kesungguhan mereka.
Malah, beberapa pemain yang menonjol akan diberi peluang mewakili pasukan ke Matta Malaysia Pickleball Grand Slam 2025 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Sementara itu, Presiden RB Rinduk Pickleball Academy Ruslan Bujang menjelaskan bahawa pihaknya kini sedang memberikan latihan intensif kepada 24 pemain yang terlibat dalam kem berkenaan.
“Kami memberi pendedahan daripada aspek teknikal, taktikal, kecergasan dan kesejahteraan. Sebagai persediaan awal sebelum menyertai kejohanan besar, mereka turut didedahkan dengan kejohanan mini sebagai medan latihan dan pengukuhan prestasi,” katanya.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, hanya enam hingga lapan pemain akan dipilih untuk mewakili pasukan utama.
Buat masa ini, sesi latihan dijalankan secara percuma setiap Rabu dan Khamis di RB Homestay & Farms, Santubong.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih, Mohamad Fuad Mohamad Sapri, 48, melihat perkembangan positif komuniti pickleball di Kuching.
“Melalui inisiatif seperti Santubong Paddle Roots yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah, sukan ini diperkenalkan lebih awal agar mereka membesar dengan minat serta asas permainan yang kukuh.
“Cabaran melatih kanakkanak ialah mengekalkan minat mereka.
Namun, pickleball bukan sekadar mengajar cara bermain, ia juga mendidik disiplin, rasa hormat, pengurusan masa dan semangat berlatih berulang kali,” jelasnya yang optimis suatu hari nanti pickleball mampu melangkah ke pentas besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA), bahkan Olimpik.
Antara persepsi yang sering timbul, katanya, ialah anggapan pickleball sebagai sukan mahal. Hakikatnya, pemukul (paddle) boleh diperoleh serendah RM50 hingga ribuan ringgit bergantung kepada kemampuan masing-masing.
“Yang lebih penting bukan harga peralatan, tetapi kemahiran serta kekerapan berlatih,” tegas jurulatih. Jelas Fuad, bagi yang baharu menceburi sukan ini, asas pukulan perlu dikuasai terlebih dahulu.
Di samping itu, berguru dengan jurulatih serta menyertai komuniti kecil amat digalakkan supaya sentiasa ada rakan berlatih dan tempat bermain.
Tambahnya, ramai yang menyifatkan pickleball sebagai ‘racun’ kerana sekali mencuba, sukar untuk berhenti.
Permainan ini bermula sebagai aktiviti santai, tetapi akhirnya ramai yang terlibat secara lebih serius dan kompetitif, malah turut melibatkan ahli keluarga. Keunikan pickleball terletak pada sifatnya yang santai dan menyeronokkan, namun tetap mampu mengeratkan hubungan di kalangan pemain.
Tidak hairanlah sukan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan pingpong ini semakin diminati oleh semua lapisan masyarakat. Aksinya yang pantas tetapi mudah dipelajari membuatkan ia sesuai dimainkan oleh kanakkanak, remaja mahupun warga emas.
“Dengan perkembangan pesat dalam tempoh singkat, pickleball kini bukan sahaja dimainkan untuk rekreasi, malah turut menjadi medium perhubungan dalam dunia perniagaan. Banyak pusat beli-belah mula menyediakan kemudahan bermain, manakala peralatan mudah didapati di kedai sukan dan platform dalam talian.
“Saya yakin fenomena pickleball akan terus meletup di Malaysia.
Jika kekerapan bermain dijadikan budaya, tidak mustahil kita dapat melahirkan pemain bertaraf dunia.
Saya percaya suatu hari nanti pickleball mampu berada di SUKMA, malah Olimpik,” katanya penuh harapan.
SOKONGAN TENAGA PENGGERAK
Di sebalik perkembangan pesat ini, tidak dapat dinafi kan peranan tenaga penggerak di lapangan.
Naib Presiden RB Rinduk Pickleball Academy, Alexander Tow, bersama pasukan jurulatih termasuk Subian Putit, Shapiee Samat, Amin Adenan, Dr. Awangku Rahman dan Christine Milton, menjadi antara individu penting yang memastikan bakat muda Santubong mendapat bimbingan terbaik.
Dengan sokongan kerajaan, komuniti dan akademi, Santubong dijangka bukan sahaja melahirkan pemain berbakat, malah mengangkat pickleball sebagai salah satu tarikan baharu dalam bidang sukan dan pelancongan di Malaysia.



