KANOWIT: Hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki hilang, Richard Lee hari ini sedang giat dijalankan di hutan belakang rumah panjang di Sungai Penyulau, Kanowit, bagi menjejaki mangsa yang belum ditemui sejak 7 Mac lalu.
Menurut Komander Operasi, PBK II (TBK I) Azri Hazim, operasi hari ini menumpukan pencarian di laluan hutan dan kawasan berbukit berdekatan lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Operasi hari keempat menekankan pencarian menyeluruh dalam radius 14 kilometer dari rumah panjang dengan bantuan penduduk kampung yang turut memeriksa laluan berpotensi mangsa dikhuatiri hilang,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, cuaca dan keadaan hutan yang sukar diakses menjadi cabaran tambahan, namun pasukan bomba dan sukarelawan terus bertugas dengan penuh dedikasi.


Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit atau pihak polis bagi membantu kelancaran operasi penyelamatan.
Mangsa yang berusia 22 tahun dilaporkan keluar dari rumah panjang pada 7 Mac lalu sekitar 4 petang tanpa memberitahu ahli keluarga.
Dia juga tidak membawa dokumen pengenalan diri atau telefon bimbit, menyebabkan usaha pencarian menjadi lebih mencabar.
Richard digambarkan berkulit hitam manis, rambut panjang hitam, memakai jersi hijau dan seluar jean pendek hitam ketika hilang.






