KUCHING: Persidangan Antarabangsa mengenai Penuaan Sarawak (SICA) 2025 akan berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober depan sempena sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa.
Persidangan anjuran Kementerian Wanita, Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Gerontologi dan Geriatrik Sarawak (SGGS).
Menteri KPWK, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, SICA 2025 bertujuan menangani cabaran penduduk yang semakin menua serta mencadangkan penyelesaian inovatif untuk menyokong warga emas di Sarawak.
“Persidangan ini juga bertujuan memajukan rangka kerja dasar yang komprehensif bagi menegakkan hak warga emas, memastikan penyertaan mereka dalam masyarakat dan menyediakan perlindungan sosial yang mencukupi serta mewujudkan kesaksamaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, SICA 2025 merupakan platform penting bagi Sarawak membuktikan bahawa masa depan negeri ini merangkumi semua lapisan masyarakat, termasuk warga emas.
“Dengan menggalakkan warga tua yang aktif, bermaruah dan berdaya saing, kita bukan sahaja melabur dalam kesejahteraan golongan berusia tetapi juga dalam daya tahan komuniti secara keseluruhan,” jelasnya.
Persidangan itu akan menampilkan pembentangan oleh wakil Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), ucaptama oleh Institut MyAgeing Universiti Putra Malaysia, serta pelbagai sesi yang meliputi topik dasar, kesihatan, pendigitalan, kesejahteraan peribadi, pemerkasaan ekonomi dan penglibatan komuniti.

Turut diadakan ialah forum antarabangsa yang membincangkan pendekatan penjagaan warga emas dari China, Jepun dan Singapura.
Selain itu, program berkenaan turut merangkumi pameran serta aktiviti antara generasi yang melibatkan warga emas secara langsung.
Persidangan ini akan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi kesihatan, akademik, badan bukan kerajaan, sektor swasta, pemimpin masyarakat, penjaga serta warga emas sendiri — mencerminkan semangat kerjasama merentas sektor.



