KUCHING: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) akan menganjurkan Seminar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Persidangan TVET Pertumbuhan Timur Asean Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Keempat, hujung tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata Seminar TVET dengan tajuk “Merapatkan Jurang Antara Pendidikan dan Kebolehkerjaan” dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 21 November di Hotel UCSI Kuching.
Manakala, katanya, Persidangan TVET BIMP-EAGA ke-4 pula akan diadakan dari 11 hingga 12 Disember depan di Hotel Imperial Kuching.
“Program berkenaan adalah hasil utama Kumpulan Kerja Pembangunan Sumber Manusia (HRD-WG) untuk 2024 di bawah Kluster Sosio Budaya dan Pendidikan (SCE) BIMP-EAGA.
“Sebagai inisiatif utama HRD-WG, acara ini juga berfungsi sebagai platform penting untuk menghimpunkan pemimpin TVET, pemegang kepentingan utama, dan
pengamal dari seluruh rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan MEITD sempena persidangan Dewan DUN Sarawak, hari ini.
Beliau menambah acara itu juga akan menampilkan barisan penceramah, panelis, dan peserta Sarawak dan antarabangsa termasuk wakil dari Australia, Brunei, China, Perancis, Jerman, Indonesia,
Filipina, United Kingdom dan negara anggota BIMP-EAGA.
“Kita juga berbesar hati kerana Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengesahkan kehadiran beliau untuk merasmikan Persidangan TVET BIMP-EAGA Keempat 2024 sekali gus menyampaikan ucaptama.
“Dengan dua program ini, Sarawak melalui MEITD saya telah menganjurkan sebanyak tiga acara di bawah Kluster SCE pada tahun ini,” ujarnya.
Untuk rekod, persidangan tersebut dijangka akan menjadi tuan rumah kepada 500 peserta dan HRD Corp boleh dituntut. Selain itu, Seminar TVET yang akan berlangsung secara hibrid dan fizikal akan menarik 200 peserta.
Ia dianjurkan dengan kerjasama beberapa organisasi iaitu Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA); Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST); Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED); Gabungan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC); Kolej Universiti i-CATS, Sarawak Skills dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Dalam hal berkaitan, Sagah turut mengumumkan sebanyak RM124,500 akan diperuntukkan kepada tujuh institusi Kolej Komuniti di Sarawak iaitu Kolej Komuniti Kuching; Kolej Komuniti Mas Gading; Kolej Komuniti Santubong; Kolej Komuniti Betong; Kolej Komuniti Sarikei; Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu; dan Kolej Komuniti Miri.
“Pemberian ini adalah sebahagian daripada usaha kita yang lebih meluas untuk memperkukuh sektor pendidikan dan TVET di Sarawak.
“Kami akan terus melabur dalam pendidikan, bukan sekadar menyediakan sokongan kewangan tetapi juga melabur untuk masa hadapan golongan muda,” tegasnya.


