SARAWAK: Pusat Kanser Sarawak disasar untuk siap dibangunkan dan beroperasi menjelang 2031, kata Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurutnya, harapan itu disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Khas Pemantauan Projek Strategik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, semalam.
Jelas beliau, Anwar telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia untuk mempercepat garis masa projek itu dengan menender selewat-lewatnya pada suku pertama 2026 dan pecah tanah menjelang suku ketiga tahun sama.
“Sangat bersetuju dengan PMX mengenai pencapaian ini, kerana pesakit kanser di Sarawak memerlukan kemudahan terkini supaya pakar perubatan kami di Hospital Umum Sarawak boleh melakukan lebih banyak lagi untuk pesakit kanser,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Turut hadir pada mesyuarat khas berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Tambahnya, sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan bagi pembinaan pusat kanser seluas 15.44 hektar itu, selain bakal dilengkapi sebanyak 310 katil pesakit.
Kata beliau, Pusat Kanser Sarawak akan menjadi pusat kanser terbesar dan bertaraf penuh yang khusus di Malaysia.
“Ia merupakan salah satu komponen penting Sarawak Health Metropolis di Samarahan yang merangkumi Hab Perubatan & Penyelidikan (Pusat Jantung Sarawak, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak), Hospital UNIMAS,hab Pendidikan Tinggi & Penyelidikan (UNIMAS, Kampus UiTM Sarawak, Pusat Biodiversiti Sarawak) dan Hab Pembuatan (Zon Perindustrian Bebas Samalaju),” ujar beliau. – TVS



