ARTIKEL

Fatimah menyerahkan cenderamata kepada Premier pada Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini. | Gambar: Mohd Alif Noni

Sarawak bangunkan Papan Pemuka Keusahawanan Wanita

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sedang membangunkan Papan Pemuka Keusahawanan Wanita (WED), platform digital bersepadu pertama di negeri ini bagi mengumpul data masa nyata berkaitan usahawan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan platform itu dilaksanakan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) serta Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU).

“Melalui platform ini, maklumat berkaitan profil usahawan wanita akan disepadukan dalam satu pangkalan data berpusat yang diperkasakan dengan data masa nyata.

“Ini akan membolehkan kami memahami landskap sebenar usahawan wanita di Sarawak, termasuk siapa mereka, di mana mereka berada, cabaran yang dihadapi, potensi yang boleh dibangunkan dan bentuk sokongan yang diperlukan.

“Platform ini juga akan diintegrasikan dengan ekosistem Sistem Pangkalan Data Usahawan (ENBASE),” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 yang dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, menerusi pendekatan itu, setiap dasar, program latihan, bantuan kewangan dan pembangunan kapasiti dapat dirancang dengan lebih tepat, pantas serta berasaskan bukti.

Beliau turut memohon peruntukan sebanyak RM370,000 bagi melengkapkan pembangunan WED.

Dalam pada itu, Fatimah memaklumkan Pusat Pengumpulan Sehenti (OSCC) Samarahan yang siap dibina pada 2022 akan berfungsi sebagai pusat pengumpulan, pembangunan, penggredan, pembungkusan, pemasaran dan promosi produk usahawan wanita.

“Produk mereka akan dipasarkan ke peringkat global menerusi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam (STATOB) serta pejabat perdagangan dan pelancongan yang bakal dibuka di Kalimantan, Indonesia,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, OSCC berpotensi menjalin kerjasama dengan AirBorneo bagi memasarkan produk tempatan sebagai sajian kepada penumpang syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu.

Sementara itu, selaras dengan tema sambutan tahun ini, Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital, ujarnya, sebuah buku dengan judul sama diterbitkan hasil kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan dilancarkan pada 7 Julai lalu.

“Buku ini menampilkan kejayaan 23 wanita Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keusahawanan digital, penyelidikan, inovasi, pembangunan sistem dan teknologi.

“Penerbitan ini melengkapi Siri Buku Wanita Sarawak yang sejak 2010 mendokumentasikan perjalanan 405 pemimpin wanita daripada pelbagai latar belakang dan profesion,” tambahnya.

Selain itu, Fatimah berkata, sumbangan 23 ahli akademik, termasuk 12 wanita, turut diketengahkan menerusi 13 makalah dalam buku bertajuk Pedagogical Innovation Through Technology-Enhanced Learning Design: Global Case Studies and Implications for Practice.

“Buku terbitan Routledge yang disunting Profesor Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman dan mendiang Dr Augustus Raymond Segar dari Universiti Teknologi Swinburne Sarawak ini dilancarkan pada 23 Jun lalu,” katanya.

Beliau menambah, tiga wanita Sarawak kini mengikuti Program Sarjana Sastera dalam Pembangunan Kepimpinan di Kolej Universiti Kepimpinan Wanita Asia (AWLUC), Pulau Pinang menerusi tajaan Kerajaan Sarawak berjumlah RM105,000.

Katanya, kementerian berharap penajaan berkenaan dapat diperluaskan kepada lima kohort pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Sambutan Hari Wanita Sarawak turut disertai lebih 4,500 peserta dari 45 daerah secara maya, selain agensi dan usahawan yang terlibat dalam pameran, perkhidmatan serta jualan produk.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU