KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) berhasrat untuk mencontohi pendekatan negara Singapura dalam menyediakan sistem sokongan warga emas di negeri ini.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata sistem yang disediakan di negara itu sangat baik kerana mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kesihatan yang bukan hanya disediakan di pusat jagaan tetapi juga di rumah.
“Justeru, kita juga melihat bagaimana Singapura menyediakan sistem sokongan ini khususnya kepada warga emas mereka yang mahu kekal tinggal di rumah sendiri.
“Mereka mempunyai sistem penggera untuk memberi amaran kepada seseorang sekiranya warga emas jatuh di rumah supaya bantuan segera dapat diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina “Giving Love Grateful Heart” di Sarawak Hun Nam Siang Tng, di sini, malam tadi.
Tambahnya, perkara tersebut penting kerana
kerana kajian awalan terhadap populasi menua yang dilakukan di seluruh Sarawak menunjukkan bahawa rata-rata warga emas tidak mahu dihantar ke pusat jagaan.
“Disebabkan itu juga kita perlu merancang sewajarnya sistem sokongan yang perlu ada dalam kalangan masyarakat khususnya untuk golongan warga emas.
“Jadi, sistem sokongan di Singapura merupakan satu contoh yang diperlukan sekiranya warga emas kita nanti memilih untuk tinggal atau menua di rumah mereka sendiri,” ujarnya.

Mengenai majlis tersebut, ia diadakan untuk meraikan seramai 33 warga emas Sarawak Hun Nam Siang Tng dan 20 kanak-kanak dari The Salvation Army.
Selain itu, Fatimah turut menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah 30,000 sumbangan 38 Yayasan Amal Cinta kepada Sarawak Hun Nam Siang Tng serta mengagihkan angpau kepada warga emas.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How; Pengerusi Sarawak Hun Nam Siang Tng, Tay Boon Sing; Pengasas dan Pengerusi Persatuan Pencinta Buku Kuching May Loo Hun Ing; Setiausaha Persatuan Pencinta Buku Kuching, Ashley Thian; serta wakil yang lain.



