KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan dan meningkatkan pakej insentif pelaburan khusus bagi pelaburan yang memenuhi syarat di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, insentif yang dicadangkan itu bertujuan melengkapi insentif sedia ada di peringkat Persekutuan serta menggalakkan pelaburan merentasi rantaian nilai gas dan tenaga.
“Insentif berkenaan dicadangkan supaya disasarkan kepada pelaburan yang memberikan hasil dan impak yang jelas, dengan mengambil kira nilai pelaburan, pewujudan pekerjaan bernilai tinggi, peluang pekerjaan dan pembangunan rakyat Sarawak, pemindahan teknologi dan pengetahuan, penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pewujudan nilai tambah melalui aktiviti hiliran serta aspek kelestarian,” katanya.
“Melalui inisiatif ini, Kerajaan Sarawak berhasrat memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab gas dan tenaga strategik bagi utara Sarawak, di samping menarik pelaburan baharu serta membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan tempatan dan rakyat Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Malcolm menjelaskan bahawa hab gas Miri turut disokong oleh rangkaian infrastruktur yang merangkumi kemudahan penerimaan gas, pengeluaran gas di peringkat huluan dan daratan, kemudahan LNG berskala kecil serta pengangkutan LNG menggunakan lori.
“PETROS melalui Sarawak Gas Distribution (SGD) juga memperluas rangkaian pengagihan gas domestik di Miri, yang kini membekalkan gas berpaip kepada 1,362 pelanggan komersial dan empat pelanggan industri,” ujarnya.
“Pembangunan itu dijangka membuka peluang pelaburan dalam aktiviti hiliran minyak dan gas, perkhidmatan medan minyak dan gas, LNG berskala kecil serta industri lain berasaskan gas, di samping mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Sarawak,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata projek loji janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) Miri bernilai RM2.5 bilion mencapai kemajuan pembinaan 63 peratus setakat suku ketiga 2024, dengan operasi komersial dijangka bermula menjelang akhir 2027.
Beliau berkata, loji berkapasiti 500 megawatt (MW) itu dijangka menggunakan kira-kira 75 hingga 80 juta kaki padu piawai gas asli sehari apabila beroperasi.
“Kemudahan itu dijangka menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil dan cekap untuk utara Sarawak, selain meningkatkan daya tarikan Miri kepada pelabur dalam industri hiliran minyak dan gas serta sektor berkaitan tenaga,” katanya.





