KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang meneliti perancangan untuk membina lebih banyak gelanggang sukan pickleball bagi menampung minat orang ramai terhadap sukan itu yang semakin meningkat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata langkah tersebut sejajar dengan usaha kerajaan untuk menyokong amalan gaya hidup sihat menerusi penyediaan infrastruktur yang sesuai kepada masyarakat.

“Memandangkan permintaan yang semakin meningkat, kerajaan berusaha menyediakan lebih banyak kemudahan untuk sukan pickleball.
“Kerajaan kini sedang meneliti pembinaan gelanggang tambahan bagi menampung pertambahan minat serta menyokong gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat sesi latihan percuma sukan pickleball di Picklepro Kuching, Tabuan Laru Family Club, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr. Sim berkata inisiatif sesi latihan percuma yang diadakan setiap Sabtu merupakan usaha untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk di Kuching Selatan.
“Bersenam secara berkala ialah antara kaedah paling berkesan untuk kekal sihat dan mencegah penyakit.
“Saya gembira melihat penyertaan penduduk yang ramai dalam latihan ini. Ia bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal tetapi juga menyemai semangat perpaduan komuniti,” ujarnya.
Menurutnya, setakat ini seramai 168 peserta telah mendaftar untuk menyertai program tersebut, dan jumlah itu dijangka terus meningkat susulan sambutan yang amat menggalakkan.
Difahamkan, latihan tersebut juga menjadi persiapan awal kepada para peserta menjelang Kejohanan Pickleball Datuk Bandar Festival Kuching yang dijadual berlangsung pada 2 dan 3 Ogos 2025.
Kejohanan itu bakal menampilkan empat kategori utama iaitu beregu wanita, beregu lelaki, beregu campuran dan beregu veteran lelaki.






