ARTIKEL

BERCAKAP... Sim Kui Hian pada sidang media sempena APRC 2028 bagi Kesatuan Antarabangsa Menentang Tuberkulosis dan Penyakit Paru-paru.

Sarawak capai lebih 90 peratus kejayaan rawatan TB

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mencapai kadar kejayaan melebihi 90 peratus bagi merawat tuberkulosis (TB), sekali gus menunjukkan penurunan berterusan dalam kematian akibat penyakit berkenaan.

Timbalan Premier, Sim Kui Hian berkata rawatan TB sememangnya berkesan dan mudah diperoleh, namun berdepan cabaran dari segi pengesanan dan pemeriksaan penyakit.

“TB sukar dikesan kerana kelihatan seperti batuk biasa dan boleh berada dalam keadaan tersembunyi dalam tubuh seseorang untuk tempoh lama sebelum menjadi aktif apabila sistem imun menurun.

“Jika tidak menjalani pemeriksaan, seseorang mungkin tidak sedar bahawa mereka dijangkiti TB kerana bakteria itu boleh ‘tidur’ dalam badan dan hanya menjadi aktif apabila imuniti menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Serantau Asia Pasifik ke-11 (APRC 2028) bagi Kesatuan Antarabangsa Menentang Tuberkulosis dan Penyakit Paru-paru di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Tambahnya, jumlah kes yang tinggi banyak dipengaruhi oleh kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan, termasuk kekurangan doktor, kemudahan makmal dan perkhidmatan pemeriksaan yang pantas.

“Selain itu, kepadatan isi rumah serta faktor sosioekonomi, khususnya dalam kalangan golongan miskin turut menyumbang kepada kelewatan mendapatkan rawatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Malaysia kerana berjaya menjadi tuan rumah APRC 2028 yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 Mac 2028 di Kuching.

Jelasnya, persidangan tersebut bukan sekadar platform pertemuan semata-mata, tetapi juga bertujuan merangka strategi dan hala tuju baharu dalam usaha membanteras TB untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Persidangan perubatan besar seperti ini menghimpunkan pakar dari seluruh dunia.

Apabila mereka turun ke lapangan dan berkongsi pengalaman, pelbagai cadangan baharu dapat diketengahkan.

“Ini akan membantu kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan seterusnya.

“Walaupun kita mungkin tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menghapuskan penyakit ini sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita mempunyai pelan hala tuju ke arah itu,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU